Gol Miranda julang Brazil benam Argentina di Arab Saudi

Neymar holds the silverware with Roberto Firmino as Brazil celebrate the narrow triumph over Argentina JEDDAH, Arab Saudi 17 Okt. – Pemain pertahanan, Miranda menjaringkan gol pada masa kecederaan bagi memastikan Brazil menang 1-0 ke atas seteru tradisi mereka Argentina dalam aksi persahabatan di Arab Saudi.

Miranda berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Neymar pada minit ke-92 untuk mengatasi Sergio Romero bagi memastikan Brazil merangkul kejuaraan Superclasico America buat kali ketiga berturut-turut.




Aksi yang berlangsung di King Abdullah Sports City di Jeddah itu menyaksikan kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk menjaringkan gol.

Argentina yang beraksi tanpa kelibat Lionel Messi dan Paulo Dybala dilihat kurang berkesan di bahagian pertahanan dengan pemain daripada kedua-dua pasukan berdepan masalah cuaca panas di Arab Saudi.

Miranda mendedikasikan jaringan penuh emosi itu kepada isterinya bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-16 pertemuan pertama mereka.

Perlawanan persahabatan Brazil selepas ini akan berlangsung di London, menentang Uruguay, November ini dengan kedua-dua pasukan sedang bersiap sedia untuk aksi Copa America, tahun hadapan.



Pengendali sementara Argentina, Lionel Scaloni berkata, perlawanan itu dilihat positif walaupun keputusan tidak berpihak kepada mereka.

“Ramai pemain kami beraksi buat kami pertama dalam Superclasico, mereka berjaya melakukannya dengan baik.

“Dengan aksi seperti hari ini, kami akan memberikan cabaran terbaik untuk berdepan sesiapa sahaja selepas ini,” kata Scolani.-AGENSI