Vidal didenda RM3.38j kerana gaduh

BERLIN: Pemain tengah Barcelona, Arturo Vidal diarahkan membayar denda 800,000 euro (RM3.38 juta) oleh mahkamah Munich selepas didapati bersalah melakukan serangan dalam pergaduhan di kelab malam di Jerman, tahun lalu.



Mahkamah Daerah Munich mendenda pemain kebangsaan Chile itu berdasarkan gajinya selama 80 hari, yang dikira 10,000 euro (RM47,915) sehari selepas dia meninggalkan Bayern Munich pada Ogos lalu selepas tiga tahun beraksi di Jerman.

Pemain berusia 31 tahun itu tidak hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan hakim kerana beraksi ketika Chile menewaskan Mexico 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa, semalam.

Peguamnya berkata, anak guamnya ‘dihalang secara profesional’ untuk berada di Bavaria.




Vidal dan adik tirinya didapati bersalah kerana menyerang seorang lelaki di kelab malam Crown pada September 2017 yang dirakam menerusi rakaman video keselamatan.

Adik tiri Vidal, Sandrino, 25, didenda 18,000 euro (RM86,000) berdasarkan gajinya selama 120 hari iaitu 150 euro (RM718) sehari – penalti yang lebih besar kerana dia turut membaling gelas dalam insiden itu.

Sejak menyertai Barcelona, Vidal bergelut untuk mendapatkan peluang bermain dalam skuad yang dipenuhi bintang di bahagian tengah dan hanya beraksi dalam dua daripada lapan perlawanan liga setakat ini. – AFP