Hazard ‘gembira’ tamatkan karier di Chelsea

LONDON: Eden Hazard menegaskan dia gembira menamatkan kariernya di Chelsea sekiranya impian untuk berhijrah ke Real Madrid tidak menjadi kenyataan.

Hazard memainkan peranan penting dalam siri perlawanan tanpa kalah Chelsea di bawah bimbingan Maurizio Sarri, menjaringkan lapan gol dalam semua kejohanan ketika Blues menghuni tangga teratas Liga Perdana bersama Manchester City dan Liverpool.




Bagaimanapun dengan kontrak sedia ada miliknya akan tamat pada 2020, pemain Belgium itu dilaporkan berminat untuk satu hari nanti menyertai juara Eropah itu.

“Ketika saya berada di Lille, saya sentiasa katakan satu hari nanti saya mahu berada di England kerana ia liga idaman saya, kerana liga di England sangat mencabar, dan kemudian satu hari berhijrah ke Sepanyol,” kata Hazard kepada Sky Sports menjelang pertemuan Chelsea dalam Liga Perdana menentang Manchester United esok.

“Kini saya hampir berusia 28 tahun, tujuh tahun dengan Chelsea, kami hampir menang semuanya.



“Jadi saya boleh menamatkan (karier) bersama Chelsea. Tiada masalah langsung. Saya sangat gembira dengan kelab ini, bersama pasukan, keluarga saya gembira di sini.

“Jadi jika saya tidak berhijrah, jika saya tidak ke Sepanyol, ia tidak menjadi masalah. Saya suka penyokong di sini – saya rasa penyokong sayang saya.”

Real boleh menggunakan kekuatan dimiliki Hazard.

Sejak pemergian Cristiano Ronaldo, Madrid gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut buat pertama kali sejak 1985. – AFP