Malaysia yakin benam Arab Saudi

BOJAN HODAK yakin kegigihan pemain negara termasuk dalam latihan

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Ketua jurulatih skuad Bawah 19 (B-19) negara, Bojan Hodak berkeyakinan tinggi bahawa anak-anak buahnya mampu mencipta kemenangan pertama apabila bertemu Arab Saudi dalam aksi pembukaan Kumpulan D Kejohanan B-19 AFC 2018 di Stadium Patriot Chandrabaga, Indonesia, esok.

Pengendali dari Croatia itu berkata dia memiliki pemain terbaik untuk menghadapi kejohanan tersebut dan kejayaan menjuarai Piala AFF B-19 pada Julai lalu menjadi pembakar semangat buat pemainnya.



“Situasi kami berbeza sekarang. Beberapa bulan lalu kami berjaya memenangi Piala AFF B-19 dan kami yakin kami memiliki skuad terbaik.

“Pasukan seperti Malaysia perlu menang kerana kami sedang membina generasi terbaik untuk masa akan datang. Tahun ini kami semakin baik apabila ada dua pemain dipanggil menyertai skuad kebangsaan (Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat).

“Kami berada dalam kumpulan sukar begitu pun kami cuba untuk menikmati perlawanan esok,” katanya.

Sementara itu, penyerang negara, Zafuan Azeman memberitahu dia dan rakan sepasukannya tidak berdepan tekanan untuk menghadapi Arab Saudi.




Kata pemain Kedah itu, berdasarkan aksi persahabatan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 10 Oktober lalu yang berkesudahan terikat 1-1 sebelum kecundang 2-0 kepada lawan yang sama tiga hari kemudian, Zafuan percaya Malaysia mampu mengatasi Arab Saudi.

“Kami fokus perlawanan satu demi satu jadi tiada tekanan buat pemain. Lagi pun, kami sudah melakukan persiapan sejak tahun lalu malah kami baharu sahaja memenangi Piala AFF B-19 pada Julai lalu,” katanya.

Selepas menentang Arab Saudi, skuad negara akan menghadapi Tajikistan pada 23 Oktober ini di venue yang sama sebelum menghadapi China tiga hari kemudian di Stadium Pakansari.

Empat pasukan yang mara ke peringkat separuh akhir akan mendapat tiket beraksi di kejohanan Piala Dunia B-20 di Poland tahun depan.

Saksikan secara streaming di www.bptvstream.com