United di denda, Mourinho diberi amaran oleh UEFA

LONDON 20 Okt. – Manchester United telah didenda sebanyak 15,000 euro (RM71,551) oleh UEFA kerana lewat melakukan sepak mula pada perlawanan Liga Juara-Juara menentang Valencia, awal bulan ini setelah tuan rumah terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas.



Jawatankuasa Disiplin UEFA telah mendenda United sebanyak 5,000 euro (RM23,850) kerana bas pasukan lewat tiba di venue perlawanan, dan tambahan 10,000 euro (RM 47,701) ekoran lambat menyempurnakan sepak mula, manakala pengurus United, Jose Mourinho turut diberi amaran.

United tiba di Old Trafford tidak sampai 45 minit sebelum sepak mula dilakukan pada 2 Oktober lalu dan terpaksa meminta pengadil perlawanan dari Slovenia, Slavko Vincic untuk menangguhkan waktu perlawanan lewat lima minit.




Mourinho menyalahkan pihak berkuasa tempatan ekoran kelewatan tersebut kerana tidak menyediakan anggota polis pengiring untuk bas pasukan, tetapi pegawai polis pula berkata, kelab telah sedia maklum bahawa tiada perkhidmatan sedemikian ditawarkan dan United perlu membuat pengaturan waktu yang sewajarnya.

“Kami telah meninggalkan hotel pada pukul 6 petang dan berharap tempoh 30 minit sudah memadai, yang mana ia merupakan satu masa yang normal, tetapi kali ini polis enggan mengiring kami, jadi kami perlu bergerak sendiri.

“Kami mengambil masa selama 75 minit selepas keluar dari Hotel Lowry dan UEFA serta pengadil begitu bertimbang rasa membenarkan kami memulakan perlawanan lewat lima minit kerana kami sekurang-kurangnya memerlukan selama setengah jam untuk bersedia, tetapi ia bukan berpunca daripada masalah organisasi kelab,” kata Mourinho.

Pertemuan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 0-0. – AFP