Usah ulangi kesilapan mudah – Bojan Hodak

Image result for bojan afc u19

KUALA LUMPUR: Masih banyak perlu diperbaiki dalam persembahan skuad muda negara jika mahu melangkah jauh pada kejohanan bawah 19 (B-19) tahun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang kini berlangsung di Indonesia.



Perkara itu diakui jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak sambil mengingatkan anak buahnya untuk tidak mengulangi kesilapan mudah seperti berlaku ketika aksi pertama berdepan Arab Saudi, semalam.

Justeru, pengendali dari Croatia itu tetap menaruh kepercayaan bahawa anak buahnya mampu bangkit bagi aksi kedua berdepan Tajikistan Selasa ini.

“Pertahanan melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya dengan memberi ruang untuk pemain lawan (Arab Saudi) menjaringkan gol.

“Jadi, untuk pergi jauh dalam kejohanan ini, kami perlu meningkatkan lagi persembahan dan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan,” katanya.

Malaysia memulakan kempen kejohanan B-19 AFC dengan langkah kiri selepas tewas 1-2 kepada Arab Saudi sekali gus menghuni tangga ketiga Kumpulan D.




Satu lagi aksi Kumpulan D yang berlangsung malam tadi menyaksikan Tajikistan menang tipis 1-0 ke atas China.

Malaysia perlu mengelak daripada mengalami kekalahan pada aksi kedua berdepan Tajikistan jika tidak mahu tersingkir awal daripada kejohanan itu.

Selain itu, Hodak tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun terpaksa akur gagal mengutip sebarang mata pada aksi pembukaan.

“Saya tidak kecewa, saya bangga dengan pemain yang memberikan tentangan sengit sepanjang 90 minit. Secara teknikalnya kami tidak berada pada tahap terbaik.

“Berdepan Arab Saudi yang juga satu daripada pasukan terbaik Asia memang sukar. Mereka lebih berpengalaman dan jika anda tanya saya secara keseluruhan, ia satu persembahan yang baik (daripada pemain saya),” katanya.