VIDEO Jaringan Nabil penyelamat skuad B19 negara

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Tendangan bebas oleh Nabil Hakim Bokhari pada minit ke-55 membolehkan Malaysia terus bernafas dalam Kejohanan AFC Bawah 19 (B-19) selepas seri 2-2 dengan Tajikistan dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan permainan dengan 10 pemain di Bekasi, Jawa Barat malam ini.



Dalam persaingan Kumpulan D di Stadium Patriot itu menyaksikan Malaysia terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Hadi Fayyadh seawal minit ke-11 namun Tajikistan menya­makan kedudukan 23 minit kemudian menerusi sepakan pe­nalti Ehson Panjshanbe ekoran kekasaran yang dilakukan pemain pertahanan Muhammad Al Imran Halim.

Beberapa saat sebelum wisel waktu rehat dibunyikan, Taji­kistan masih sempat menja­ringkan gol untuk mendahului menerusi Daler Yodgorov, sebelum jaringan Nabil itu menyelamatkan Malaysia daripada tersingkir awal dalam kejohanan tersebut.

Jaringan penyelamat itu muncul selepas Nabil yang juga pertahanan negara membuat sepakan bebas dan bola terkena kaki pemain Tajikistan ketika dia cuba membuang bola keluar dari kotak penalti.




Kedua-dua pasukan kemudian kehilangan pertahanan masing-masing ketika permainan berbaki tujuh minit apabila Nabil dan Khuseyn Nurmatov dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan.

Skuad bimbingan Bojan Hodak masih berpeluang untuk mara ke suku akhir jika menang ke atas China di Stadium Pakansari, Ci­binong Jumaat ini sambil mengharapkan Tajikistan tewas kepada Arab Saudi, yang mengungguli carta kumpulan dengan enam mata.

Malaysia, yang tumpas 1-2 kepada Arab Saudi dalam perlawanan pertama, kini menduduki tempat ketiga dengan satu mata, manakala Tajikistan kedua (empat mata), sementara China tercorot tanpa mata setelah kalah kedua-dua perlawanan.

Dalam perlawanan lain, Arab Saudi menundukkan China 1-0.