Bekas pengendali England dilantik jurulatih baru Filipina

Image result for Sven-Goran Eriksson

HONG KONG: Bekas pengendali England Sven-Goran Eriksson akan membimbing skuad kebangsaan Filipina pada Piala Suzuki AFF bulan depan dan Piala Asia 2019.

Pengendali 70 tahun itu, yang sebelum ini dikaitkan dengan pasukan kebangsaan Iraq dan Cameroon, dijangka tiba di Manila minggu depan untuk kem latihan menjelang Piala Suzuki AFF yang akan bermula pada 8 November.



“Salah seorang jurulatih legenda sepanjang zaman, jurulatih Sven-Goran Eriksson akan membimbing Azkals untuk Piala Suzuki dan Piala Asia,” kata pengurus pasukan Dan Palami ketika jejalah trofi Piala Suzuki di Manila hari ini.

“Saya pasti dia akan memantapkan pasukan dan saya pasti pemain-pemain akan banyak belajar daripadanya.

“Dia akan bekerjasama dengan jurulatih kami Scott Cooper. Ia salah satu langkah yang diambil untuk membolehkan kami tampil lebih baik pada edisi Piala Suzuki kali ini.”

Eriksson mengambil alih pasukan dua bulan selepas Terry Butcher meletak jawatan tanpa mengendali sebarang sesi latihan.




Bekas kapten England itu dilantik Jun lalu dan mengumumkan pada Ogos yang dia tidak akan meneruskan tugasnya itu.

Sementara itu Eriksson, yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas meninggalkan kelab China Shenzhen FC pada Jun 2017, akan bekerjasama dengan Cooper yang mengambil alih tugas Butcher sejak Ogos.

Filipina akan berdepan Indonesia, Singapura, Thailand dan Timor Leste di peringkat kumpulan Piala Suzuki sebelum tampil buat kali pertama di pentas Piala Asia pada Januari.

Mereka akan berdepan Korea Selatan, China dan Republik Kyrgyz di Piala Asia yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu. – REUTERS