Noktah perjuangan Bibi Ramjani

BIBI RAMJANI ILIAS KHAN

KOTA BHARU 27 Okt. – Perjuangan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan dan Lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menemui titik noktah mendukacitakan.

Hal ini kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini dilaporkan menolak rayuan yang dikemukan oleh Kafa sebelum ini bagi mendapatkan kedua-dua lesen tersebut.



Penolakan itu dengan alasan Kafa lewat mengemukakan interim selain berhadapan dengan tiga caj pembayaran kepada bekas pemain dan barisan kejurulatihan seperti yang dilaporkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Bayaran tersebut membabitkan Blazhe Ilijoski sebanyak RM25,140), Alfredo Gonzalez (RM225,940) dan Dramane Traore (RM332,000).

Kafa turut berdepan kes FAM membabitkan bayaran berjumlah RM95,845 kepada Brendan Gan.

Keputusan itu mengecewakan usaha batik itu selepas beliau sendiri bertungkus-lumus mengemukakan rayuan tersebut selain berusaha memenuhi syarat-syarat lain.




Bagaimanapun, Bibi Ramjani dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, beliau akan terus berusaha menyiapkan pasukan Kelantan untuk beraksi pada musim 2019 nanti.

“Pihak kami merasa terkilan dan kecewa di ataskegagalan memperolehi lesen oleh kerana kami telah berusaha bersungguh-sungguh dengan keupayaan kewangan kami demi kesinambungan sukan bola sepak rakyat negeri Kelantan.

“Namun, kami terpaksa akur dan menghormati keputusan pihak FAM serta kami memohon maaf kepada semua peminat khususnya rakyat Kelantan.

“Sebagai makluman tambahan kepada penyokong, Kelantan FA tetap akan terus beraksi pada musim hadapan sebagai sebuah pasukan di Liga Perdana. Ini kerana lesen yang dipohon ini adalah bagi kelulusan pasukan untuk beraksi di Liga Super 2019,” katanya. – UTUSAN