Tiada pasukan pilihan – Irfan Bakti

Image result for Irfan Bakti Abu Salim

SHAH ALAM 26 Okt. – Ketua jurulatih Terengganu FC 1 (TFC1), Irfan Bakti Abu Salim menolak status pilihan yang diberikan kepada skuad Penyu menjelang final Piala Malaysia menentang Perak esok, sebaliknya menegaskan kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang.



TFC 1 dianggap pilihan untuk merangkul kejuaraan buat kali kedua selepas mengejutkan penyandang juara yang juga juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada separuh akhir.

Selepas menang 1-0 di Kuala Terengganu, anak-anak buah Irfan Bakti mengikat JDT 2-2 di Larkin, sekali gus mara secara agregat 3-2.

“Sebelum ini kami menganggap pertemuan separuh akhir menentang JDT ibarat beraksi di pentas final.

“Bagaimanapun, separuh akhir dan final adalah dua saingan berbeza. Jika separuh akhir berlangsung secara timbal balik, namun dalam perlawanan akhir semua akan ditentukan dalam tempoh 90 minit.

“Jadi, saya menasihati pemain agar kurang melakukan kesilapan dan berjaga-jaga dalam tempoh 15 minit pertama. Wander Luiz serta Gilmar da Silva perlu diberi perhatian,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Shah Alam, hari ini.

Kata Irfan Bakti, tiada pasukan yang boleh dianggap pilihan dalam perlawanan esok kerana TFC 1 dan Perak mempunyai peluang seimbang kerana berkongsi rekod pertemuan pada saingan Liga Super musim ini.




Perak yang muncul naib juara liga mengalahkan TFC 1 3-2 pada pertemuan pertama di Ipoh tetapi tewas 0-2 kepada skuad Penyu dalam aksi kedua di Kuala Terengganu.

Aksi final kali ini dianggap epik memandangkan kedua-dua pasukan sudah lama tidak menjulang Piala Malaysia.

Apa yang lebih menarik, kali terakhir Terengganu merangkul kejuaraan berprestij itu adalah mengalahkan Perak 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2001. Justeru, pertembungan kali ini boleh dianggap misi ‘balas dendam’ buat Bos Gaurus.

Sementara itu, Kapten TFC 1, Kipre Tchetche yang sudah meledak tujuh gol dalam kempen Piala Malaysia enggan memikirkan tentang anugerah Kasut Emas, sebaliknya hanya mahu mengejar kejuaraan.

“Saya tidak fikir mengenainya. Setiap pemain boleh menjaringkan gol dan saya hanya mahu berjuang demi pasukan. Saya rasa final lebih susah kerana jika Perak mampu mara ke peringkat ini, itu bermaksud mereka adalah pasukan yang bagus.

“Saya enggan meletakkan sebarang tekanan sebaliknya mahu menikmati perlawanan esok. Kami akan bermain seperti perlawanan lain cuma kali ini adalah final,” katanya.