Perak juarai Piala Malaysia, Pengadil cemari aksi final

SHAH ALAM: Layangan dua kad merah pada aksi final Piala Malaysia sememangnya satu perkara yang jarang berlaku.

Namun, ini yang berlaku pada aksi final Piala Malaysia 2018 membabitkan Perak dan Terengganu FC di Stadium Shah Alam, malam semalam yang berkesudahan skuad The Bos Gaurus menang 4-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat 3-3 dalam masa tambahan.



Situasi itu secara tak langsung mencetuskan persoalan terhadap mutu dan kualiti pengadil Suresh Jayaraman yang mengendalikan perlawanan akhir malam tadi bersama penjaga garisan Azman Ismail dan Mohd Fazli Ishak.

Pada aksi yang berlarutan hingga ke masa tambahan itu, dia dilihat gagal mengawal perlawanan dengan baik apabila banyak keputusan yang dibuat mencetuskan kemarahan pemain, jurulatih dan juga penyokong yang membanjiri stadium.

Paling mengejutkan keputusan Suresh mengarahkan Gilmar da Silva keluar padang dengan melayangkan kad kuning kedua pada minit ke-56 selepas insiden pergaduhan pemain di kawasan sepakan penjuru Terengganu.

Image may contain: 5 people, people smiling, people playing sport and outdoorImage may contain: 2 people, people standing and outdoor




Ia berpunca daripada keengganan pemain Perak mengeluarkan bola selepas ada pemain Terengganu mengalami kecederaan sehingga menyebabkan terjadinya insiden tolak menolak antara pertahanan skuad Peteh, Igor Zonjic dan pemain sayap Bos Gaurus, Firdaus Saiyadi.

Insiden itu mencetuskan perbalahan di antara pemain kedua-dua pasukan sebelum dileraikan pegawai perlawanan dan pada akhirnya Suresh ‘memilih’ Gilmar untuk dibuang padang.

Selang 10 minit kemudian tiba giliran awang import Terengganu, Lee Tuck pula dilayangkan kad kuning kedua biarpun sebelum itu beberapa kali terlepas daripada hukuman angkara terjahan dan kekasaran di bahagian tengah padang.

Image may contain: 25 people, people smiling

Bukan itu saja, beberapa keputusan lain Suresh turut dipersoalkan termasuk membiarkan pemain kedua-dua pasukan melakukan terjahan keras tanpa mengenakan sebarang amaran atau melayangkan kad.

Pengadil berusia 30 tahun itu mula menjadi pengadil Liga Super pada tahun 2016, sebelum itu dia menjadi pembantu pengadil di Liga Perdana bermula tahun 2011.

Berdasarkan semakan di laman web rasmi FIFA, pengadil itu tidak berada dalam senarai pengadil badan induk bola sepak dunia itu.