Mbappe bantu PSG buru kemenangan ke-11

PENYERANG Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe (kiri) meraikan

PARIS 29 Okt. – Diketepikan atas masalah disiplin, Kylian Mbappe melihat rakan sepasukannya terpaksa bekerja keras pada babak pertama sebelum penyerang Paris Saint Germain (PSG) itu dimasukkan dan menjaringkan satu gol untuk membantu pasukannya menewaskan Marseille 2-0 dalam aksi Ligue 1.



Angel Di Maria yang mengalami kecederaan ketika PSG mengikat Napoli 2-2 dalam aksi Liga Juara-Juara, mencipta gerakan gol untuk Mbappe membuka tirai jaringan perlawanan pada minit ke-65 sekali gus meledak gol ke-10 dalam tujuh perlawanan liga.

Mbappe tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol apabila melakukannya hanya empat minit selepas dimasukkan dan itu menunjukkan kehadirannya benar-benar memberi impak kepada pasukan.

“Pasukan besar memerlukan ketua dan mereka perlu bersedia mencipta kelainan. Saya fikir saya mampu memenuhi peranan itu,” kata Mbappe yang diketepikan oleh jurulatihnya, Thomas Tuchel selepas pemain berusia 19 tahun itu lewat menghadiri sesi perbincangan pra perlawanan.

Tuchel berdiri teguh dengan pendiriannya apabila meletakkan Mbappe di bangku simpanan dan pemain tengah Adrien Rabiot turut diketepikan selepas melakukan kesalahan yang sama.




“Perkara ini melibatkan disiplini. Kami perlu melakukannya,” kata Tuchel.

Dalam pada itu, Mbappe turut mencipta gerakan gol dengan menghantar bola kepada Neymar sebelum penyerang Brazil itu melorongkan bola kepada Julian Draxler untuk meledak gol kedua perlawanan.

Itu merupakan kemenangan ke-11 berturut-turut PSG dalam aksi liga dan mereka memiliki kelebihan lapan mata di hadapan Lille yang menduduki tempat kedua.

Marseille turun beraksi tanpa penyerang utamanya namun mereka memiliki beberapa peluang terbaik untuk merobek gawang PSG dalam aksi yang berlangsung di Stade Velodrome.

“Mereka kuat di laman sendiri malah menyebabkan kami berdepan kesukaran. Pujian diberikan kepada mereka namun kami masih berupaya untuk bertindak balas,” kata Mbappe. – AGENSI