F:30 Harimau Malaya sasar lima terbaik Asia

HAMIDIN MOHD. AMIN (tengah) melancarkan Peta Hala Tuju F:30 sambil

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Muncul antara lima negara terhandal Asia selain layak ke Sukan Olimpik 2020 dan pusingan akhir dua Piala Dunia Bawah 20 dan 17 menjadi sasaran Peta Hala Tuju Bola Sepak Negara, F:30 yang dilancarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini hari ini.



Peta Hala Tuju yang merangkumi tempoh 12 tahun dari 2019 hingga 2030 itu terbahagi kepada tiga pelan strategik dengan fasa pertama (2019-2022) ialah membina asas kukuh tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur.

Fasa kedua (2023-2026) pula bermatlamat mencapai peringkat Asia termasuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dan diakhiri dengan fasa ketiga (2027-2030) yang bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencecah taraf dunia.

“Peta Hala Tuju F:30 ini merupakan agenda negara, untuk semua, saya, FAM, pemegang taruh bola sepak dan penyokong. Jika mahu merealisasikannya, kita perlukan penglibatan semua pihak ini,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino; Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa; Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura dan Ahli Majlis FIFA, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“F:30 ialah simbol kesungguhan FAM melaksanakan pelan pembangunan menyeluruh pada setiap lapisan dan 12 tahun merupakan tempoh sasaran yang realistik dengan mengambil kira ekosistem bola sepak tempatan ketika ini,” tambah Hamidin.




Kata Infantino, pentng bagi negara seperti Malaysia dengan sejarah besar bola sepak Asia selain sebagai tuan rumah AFC, mempunyai peta hala tujunya dan inilah yang akan menjadi ukuran kepada keputusan pasukan negara dan pembangunan bola sepaknya.

“Namun memfokuskan segalanya kepada keputusan itu sikap yang salah kerana banyak keadaan pada perlawanan yang mempengaruhinya dan ada yang diharap, tidak menjadi.

“Tiada rahsia dan tiada formula ajaib malah kita tidak boleh harap Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi lahir di Malaysia untuk menjayakannya kecuali kerja keras dari awal dan teruskan pelaksanaannya untuk mengubah sejarah dan masa depan bola sepak negara ini,” katanya.

Shaikh Salman pula berkata, pasukan Bawah 16 Tahun Malaysia menunjukkan prestasi yang baik pada Kejohanan B16 AFC di sini baru-baru ini.

“Sebarang program baharu bola sepak memang memerlukan masa dan generasi pemain serta persediaan yang mantap.” katanya.