Manchester City mara ke suku akhir Piala Liga

Brahim Diaz curi tumpuan

MANCHESTER, United Kingdom 2 Nov. – Penyandang juara, Manchester City mara ke peringkat suku akhir Piala Liga selepas menundukkan Fulham 2-0 pada aksi pusingan keempat yang berlangsung di Stadium Etihad awal pagi tadi.



Namun, skuad bimbingan Pep Guardiola itu terpaksa membayar harga yang mahal untuk kemenangan tersebut apabila bintang tengah, Kevin De Bruyne mengalami kecederaan lutut pada minit-minit akhir perlawanan.

De Bruyne, 27, baharu sahaja pulih dan kembali beraksi selepas terpaksa diketepikan selama dua bulan juga kerana masalah kecederaan lutut hanya melakukan lima penampilan untuk skuad The Citizen.




Sementara itu, dalam aksi awal pagi tadi, Guardiola melakukan 10 pertukaran dalam kesebelasan utama ketika mencatat kemenangan ke atas Tottenham minggu lalu.

Paling mencuri tumpuan, pemain muda Brahim Diaz yang berjaya menjaringkan kedua-dua gol City pada minit ke-19 dan 65.

Kemenangan itu menyaksikan City bakal berdepan sama ada Leicester atau Southampton pada aksi suku akhir Piala Liga bagi memastikan trofi tersebut kekal di Manchester. – AGENSI