Durakovic batal kontrak latih Selangor musim depan

Image result for Mehmet Durakovic

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mendedahkan Mehmet Durakovic membuat ‘pusingan U’ daripada mengendalikan skuad Red Giants bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menerusi kenyataan hari ini, FAS menjelaskan Durakovic yang pernah memacu Selangor menjulang Piala Malaysia pada 2015 sebenarnya sudah menandatangani kontrak bersama Red Giants, September lalu.



Namun, beberapa hari lalu, Durakovic mengadakan pertemuan dengan Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyatakan hasrat beliau untuk terus kekal bersama Perak.

“Presiden (Tengku Amir) sudah mempertimbangkan perkara ini dan bersetuju untuk membatalkan kontrak berkenaan mengenangkan Durakovic banyak berjasa kepada Selangor sepanjang kerjaya bola sepak beliau,” jelas FAS dalam kenyataan itu.

Durakovic pernah beraksi bersama Selangor pada 1995 hingga 1998 sebelum kembali ke pangkuan pasukan itu sebagai jurulatih bermula 2013 hingga 2015.

Jurulatih berusia 53 tahun itu membuktikan kepakarannya dalam mengemudi kelab Liga M apabila membantu Perak menjulang Piala Malaysia musim ini selepas menumpaskan Terengganu 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti 27 Oktober lalu.




Selain itu, dalam kenyataan sama, FAS turut menjelaskan sedang membuat penilaian terbaik terhadap beberapa calon jurulatih baharu Selangor bagi mengharungi musim depan.

“Pihak pengurusan ingin memberi jaminan kepada semua penyokong setia pasukan Merah Kuning bahawa kami sedang mempertimbangkan calon jurulatih tempatan dan antarabangsa yang terbaik untuk mengendalikan Selangor bagi Liga Super musim 2019.

“Sebarang perkembangan lanjut mengenai pasukan Selangor akan kami hebahkan di semua platform media sebaik saja perjanjian dimeterai.”