Morata temui sentuhan berbisa

ALVARO Morata (kiri) meraikan gol keduanya bersama Eden Hazard

KUALA LUMPUR 5 Nov. – “Alvaro Morata, dia jaringkan bila dia mahu.”

Pada satu ketika, lapan minit selepas sepak mula babak kedua bermula Stamford Bridge menjadi sepi seketika dengan hanya sorakan penyokong Crystal Palace sahaja kedengaran.

Gol penyamaan Andros Townsend pada minit ke-53 menghapuskan kelebihan The Blues yang sebelum itu mendahului hasil jaringan Morata pada minit ke-32.



Namun segalanya berubah dengan perubahan taktikal, kemasukan dua tonggak, Eden Hazard dan Mateo Kovacic bagi menggantikan Ross Barkley dan Willian.

Palace yang gemar bermain bertahan sejak sepak mula permainan menerusi disiplin pertahanan yang tinggi akhirnya bolos buat kali kedua, berpunca daripada sumbangan Hazard.

Sepakan percuma yang diambil kapten Belgium itu singgah tepat di kaki Morata yang kemudiannya menyepak leret menggunakan kaki kirinya menewaskan Wayne Hennessey sekali gus meletakkan Chelsea kembali ke depan 2-1.

Gol menyaksikan Hazard menjadi pemain ketiga yang tampil dari bangku simpanan merekodkan tiga bantuan jaringan selepas Tomas Radzinski untuk Everton pada Mac 2004 dan Arjen Robben (Chelsea – April 2005).

Bagi Morata pula, itu merupakan gol keempatnya dalam empat perlawanan liga sekali gus menyuntik kembali semangatnya untuk konsisten di depan gawang.

Palace yang dibimbing Roy Hodgson selepas itu mengubah corak permainan dengan lebih terbuka bagi mencari gol penyamaan.




Sebalik keghairahan itu, anak buah Maurizio Sarri pula melebarkan jurang pada minit ke-70 apabila pemain sayap, Pedro mudah menolak masuk hantaran silang Marcos Alonso dari sebelah kiri untuk gol ketiga Chelsea.

Morata sepatutnya pulang dengan bola perlawanan namun peluang satu lawan satu dengan penjaga gol pada minit akhir perlawanan gagal disempurnakan dengan baik sekali gus menafikan hatrik untuknya.

Kemenangan itu menyaksikan Chelsea mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan, melonjak ke tangga kedua liga dengan 27 mata dibezakan jaringan dengan Liverpool di kedudukan ketiga sementara Manchester City dua mata di depan selepas membelasah Southampton 6-1 di Stadium Etihad. – UTUSAN