Gaji Neymar RM4.88j seminggu

Image result for Neymar

PARIS 10 Nov. – Neymar menjadi pemain bola sepak yang menikmati gaji paling tinggi di dunia selepas dibayar 900,000 (RM4.88 juta) se­minggu di Paris Saint-Germain (PSG), dedah portal sukan Perancis, Mediapart.



Gergasi bola se­pak Perancis itu sebelum ini membayar 198 juta pound (RM1.07 bilion) untuk membawa keluar pe­nyerang Brazil tersebut dari Barcelona, musim lalu.

Nilai pendapatan Neymar yang amat mengejutkan bocor beberapa hari selepas portal berkenaan turut mendedahkan terdapat ‘klausa tingkah laku’ dalam kontrak pemain berusia 26 tahun itu, termasuk perlu memuji penyokong PSG pada setiap masa.

Akhbar Les Parisiens pula mendedahkan, Neymar juga diwajibkan menepati masa, menghormati wartawan dan media, selain tidak membuat pertaruhan dalam pertandingan yang disertai PSG.

Menurut Mediapart lagi, PSG terpaksa membayar jumlah ke­seluruhan 252 juta euro (RM1.19 bilion) dalam proses membawa pemain tersebut dari Barcelona. Ia termasuk 30 juta euro (RM142.31 juta) untuk cukai.

Bagaimanapun, 15 peratus daripada gaji Neymar disebut sebagai ‘premium etika’. Sama seperti kebanyakan bintang PSG, juara Ligue 1 itu berhak memotongnya jika pemain tersebut didapati melanggar peraturan.

Neymar yang sudah meledak 12 jaringan dan mencipta gerakan untuk enam gol musim ini pernah meminta PSG membuang ‘peraturan pematuhan cukai’ tetapi ditolak oleh kelab berkenaan.

Dia bagaima­napun enggan mengulas me­ngenai pendedahan Mediapart. – AGENSI