Mourinho lebih bagus daripada Guardiola – Maradona

Image result for mourinho guardiola

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, adalah pengurus yang lebih baik daripada rakan sejawatannya di Manchester City, Pep Guardiola, kata Diego Maradona.

Guardiola memimpin City merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dan pasukannya terus garang dalam kempen kali ini, sementara barisan bimbingan Mourinho terus bergelut, termasuk dibelasah dalam pertembungan ‘derby’, tempoh hari.



Begitupun, Maradona berasakan bekas pengendali Real Madrid, Chelsea dan Inter Milan itu merupakan pengurus terbaik di dunia.

“Bagi saya Mou adalah yang terbaik,” katanya kepada Marca.

“Saya harus memberikan pujian terhadap Pep yang memanfaatkan kesempatan daripada peluang yang Johan Cruyff berikan kepadanya.

“Saya telah mengatakan lebih daripada sekali bahawa tiki taka bukan dicipta oleh Guardiola. Ia adalah hasil usaha ‘Flaco’ Cruyff.

“Pada masa ini, Pep dapat memilih mana-mana pemain di dunia yang dihajatinya dan dengan cara itu, pendekatan tiki taka menjadi lebih mudah.”

Maradona, yang kini memikul tanggungjawab bersama pasukan divisyen dua Mexico, Dorado, berkata beliau masih mempunyai ruang untuk memperbaiki diri sebagai jurulatih.

Ditanya apakah beliau berminat menceburi diri di Sepanyol, pemenang Piala Dunia 1986 itu berkata hanya “projek jangka panjang” akan menarik minatnya, namun terlebih dahulu beliau mahu ke Manchester untuk belajar daripada Mourinho.

“Saya sendiri sebagai jurulatih, saya perlu belajar banyak perkara dan kerana itu, saya fikir saya akan ke Manchester dan bertemu Mourinho untuk bertanyakan kepadanya tentang banyak perkara,” kata legenda Argentina itu.

“Ini kerana tidak diragui lagi, dia adalah yang terbaik.”