EPL guna VAR musim depan

Image result for VAR EPL

LONDON: Kelab Liga Perdana Inggeris secara prinsipalnya sudah bersetuju memperkenalkan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) bermula saingan musim depan.



Setakat ini, liga utama di Sepanyol, Itali dan Jerman sudah menggunakan VAR, yang membolehkan pengadil menilai insiden di padang menggunakan rakaman video, dan teknologi yang sama digunakan di Piala Dunia, Russia, tahun ini.

Kelab di England diberikan tempoh percubaan penggunaan VAR pada musim ini, melalui perlawanan di pentas Piala FA dan Piala Liga.

“Liga Perdana kini membuat permohonan rasmi kepada Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa dan badan induk (FIFA) untuk menggunakan VAR pada musim depan,” kata Liga Perdana dalam satu kenyataan, hari ini.




Setakat ini, Liga Perdana hanya menggunakan teknologi garisan gol sejak tahun 2013.

Keputusan terkini itu dilakukan selepas timbul perbalahan mengenai mutu dan sistem pengadilan ketika perlawanan Southampton dan Watford, yang berkesudahan seri 1-1, pada hujung minggu lalu.

Penyerang Southampton, Charlie Austin meminta penggunaan VAR diperkenalkan selepas golnya dibatalkan pengadil, Simon Hooper yang mendakwa jaringan dilakukan pada kedudukan ofsaid.

Pengenalan teknologi itu (VAR) juga adalah hasil undian majoriti ketika kempen musim 2018-19, berbanding undian sebelum ini yang hanya bersetuju supaya sistem terbabit diteruskan sebagai ujian. – Reuters