Vietnam tak akan benar Malaysia bawa pulang mata

Image may contain: 4 people, people smiling, people standing

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Bukan tidak menghormati Malaysia, namun Vietnam akan menghadapi perlawanan Piala AFF esok dengan misi tidak akan membenarkan Harimau Malaya pulang dengan sebarang mata.



Kapten Naga Emas, Nguyen Van Quyet berkata, pasukannya akan memastikan Malaysia tidak punya sebarang ruang untuk bukan sahaja meraih kemenangan, malah berkongsi mata.

Katanya, mereka akan memanfaatkan sepenuhnya ke­lebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium My Dinh, Hanoi untuk memburu kemenangan, apatah lagi turun sebagai pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan A.

“Saya hargai rasa hormat yang ditunjukkan oleh Malaysia kepada kami, tetapi saya percaya, kami tidak akan gembira jika hanya mengutip satu mata.

“Kami ada 90 minit untuk berjuang buat rakyat Vietnam, dan tidak kira bagaimana corak permainan lawan kami nanti, kami akan bermain seperti biasa dengan semangat juang tinggi,” kata Van Quyet dalam sidang akhbar di Hanoi hari ini.

Sementara itu, pengendali Vietnam, Park Hang-seo tidak termakan dengan kata-kata jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe yang bertandang ke Hanoi hanya untuk mencari satu mata.

“Saya tidak fikir dia (Cheng Hoe) hanya mahu satu mata. Dia pasti ke sini untuk mencari kemenangan. Tidak kisah apa yang dia katakan, kami tetap akan bersedia dan menyerang habis-habisan,” ujarnya.

Vietnam turun dengan reputasi hebat pada kempen kali ini selaku pasukan terbaik Asia Tenggara di ranking 102 dunia berbanding Malaysia 169.

Juara 2008 itu bakal menurunkan barisan generasi emas mereka apabila 15 pemain skuad bawah 23 tahun yang muncul naib juara Kejohanan Konfe­derasi Bola Sepak Asia (AFC) di China, Januari lalu bergabung dengan lapan pemain senior.

Namun, Hang-seo tetap berwaspada dengan cabaran Harimau Malaya yang menewaskan Vietnam 4-2 dalam separuh akhir kedua di Hanoi pada 2014, walaupun berjaya menebus semula dalam persaingan peringkat kumpulan di Yangon dengan kemenangan 1-0 pada 2016.