Belanda kejutkan juara Piala Dunia

Virgil van Dijk fends off Olivier Giroud as France searched for a way back into the game on Friday night at De Kuip

ROTTERDAM 17 Nov. – Belanda berpeluang mara ke separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah selepas menumbangkan Pe­rancis 2-0 semalam, sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Didier Deschamps tewas buat pertama kali sejak memenangi Piala Dunia.



Jaringan Georginio Wijnaldum di babak pertama selain sepakan penalti Memphis Depay beberapa minit sebelum wisel penamat dibunyikan membolehkan sekuad kendalian Ronald Koeman meraikan kejayaan mereka dalam sai­ngan di Rotterdam.

Skuad Oranje kini hanya memerlukan satu mata ketika menentang pasukan yang sudah tersingkir, Jerman Selasa ini untuk mengatasi Perancis dan mara ke separuh akhir.

Belanda kini ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Kumpulan 1 Liga A, Pe­rancis dan hanya memerlukan seri dalam aksi terakhir untuk membolehkan mereka ke sai­ngan kalah mati.

“Saya tidak menjangkakan perlawanan yang sempurna dari pasukan kami tetapi itulah yang sebenarnya, kami sangat bagus.

“Saya terkejut dengan barisan pemain Perancis dan cara mereka bermain, tetapi perlawanan kami adalah sempurna. Kami menguasai perlawanan selama 90 minit,” ujar Koeman.

Gol Wijnaldum hadir pada minit ke-44 dalam saingan yang didominasi tuan rumah, yang bangkit semula setelah tersingkir pada kelayakan Piala Dunia lalu.

Mereka memanfaatkan kelemahan juara dunia itu, begitupun sebelum memperoleh gol, penjaga gawang Perancis, Hugo Lloris terlebih dahulu banyak menafikan percubaan tepat Belanda.

“Kemena­ngan ini menunjukkan semangat berpasukan, kualiti pemain yang ada.

“Ini membuktikan kami mempunyai masa depan yang cerah. Kami perlu meneruskan rentak sebegini. Ini baru permulaan,” kata Depay. – AFP