Tipu sakit perut elak jalani latihan, Suarez nasihat Dembele

BARCELONA: Luis Suarez berkata, bahawa rakan sepasukan di Barcelona, Ousmane Dembele sepatutnya ‘lebih bertanggungjawab’ selepas dia dilaporkan terlepas latihan kerana terlalu lama bermain permainan video.



Dembele tidak disenaraikan oleh jurulatih, Ernesto Valverde ketika juara Sepanyol kalah mengejut 3-4 di laman sendiri kepada Real Betis.

Namun akhbar sukan As melaporkan, skuad Catalan itu bimbang bukan hanya kerana dia mungkin ketagih terhadap permainan video tetapi juga boleh memusnahkan karier di kelab berkenaan.

Dan Suarez yang juga tidak asing dengan masalah disiplin, berkata pemain antarabangsa Perancis berusia 21 itu yang ditandatangani dengan nilai 105 juta euro (RM503.91 juta), perlu mengikut contoh sebahagian rakannnya di Barca.

“Ousmane sedar bola sepak ialah penghormatan buat semua pemain, mungkin dia sepatutnya memberi lebih tumpuan berkaitan beberapa perkara,” kata penyerang Uruguay itu menjelang pertemuan dengan Perancis di Stade de France, esok.

“Ada contoh tahap profesional tinggi di Barca yang boleh dijadikan inspirasi. Dia akan terus belajar, tahap keyakinan tinggi membolehkannya berjaya di Barcelona.”

Terdahulu OUSMANE Dembele diberi amaran tegas berubah sikap atau berdepan dengan dijual.

Penyerang antarabangsa Perancis itu yang menyertai Barcelona dari Borussia Dortmund dengan harga 96 juta pound musim lalu ditegur kerana sikapnya sejak akhir-akhir ini.

Jurulatih Ernesto Valverda meletak Dembele di kerusi simpanan ketika aksi menentang Real Madrid minggu lalu selepas dia gagal mengikuti latihan dan tidak dapat dihubungi.

Pemain berusia 21 tahun itu mendakwa dia mengalami sakit perut dan sembuh sebaik sahaja doktor kelab menemuinya.

Ternyata ‘panjang akal’ Dembele itu menguji kesabaran Valverde dan pengurusan Barcelona.