Liga Negara-Negara Eropah lebih berjaya daripada jangkaan

BRUSSELS: Kejohanan baharu Eropah – Liga Negara-Negara yang menemukan pasukan dengan ranking hampir sama untuk bersaing sesama sendiri terbukti lebih berjaya berbanding apa dijangkakan UEFA, kata ketua badan induk bola sepak itu, awal pagi tadi.

Kejohanan berkenaan yang diadakan untuk menggantikan perlawanan persahabatan yang tidak memberi makna, sebelum ini berdepan kritikan dan persoalan mengenai keperluan mengadakan satu lagi kejohanan serta terlalu kompleks.



Selepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan semalam, England, Belanda, Portugal dan Switzerland sudah layak ke pusingan akhir pada Jun, manakala Jerman tersingkir daripada kelompok atas.

“Liga Negara memang lebih berjaya berbanding apa yang kita jangkakan. Kami sentiasa berdepan kritikan daripada negara besar bola sepak. ‘Kami menentang negara kecil’, ‘Kami tidak bermain dengan pasukan handal’ dan kami juga ada kritikan daripada negara kecil – ‘Kami tidak pernah menang’,” kata Presiden UEFA, Aleksander Ceferin di Brussels.




Kejohanan berkenaan juga menawarkan tempat ke Kejohanan Euro 2020 dengan perlawanan kalah mati antara pasukan teratas Kumpulan A hingga ke Kumpulan D.

“Ia amat menarik, dan ia laluan ke Eropah yang menjadikan ia sesuatu yang hebat buat Kumpulan D layak ke Eropah. Dulu ia hampir mustahil. Jumlah pasukan menakjubkan,” kata Ceferin.

Presiden UEFA itu berkata, naik taraf dan penyingkiran menjadikan kejohanan itu lebih menarik walaupun dia tidak gembira dengan negaranya sendiri, Slovenia yang jatuh ke kelompok terbawah.

Presiden Juventus, Andrea Agnelli memberitahu sidang akhbar sama bahawa peringkat kumpulan Liga Negara memang berjaya dan merasakan pemain gembira melaluinya. – REUTERS