Myanmar, Vietnam seri beri sedikit kelegaan kepada Cheng Hoe

Related image

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui keputusan seri 0-0 antara Myanmar dan Vietnam dalam aksi Kumpulan A Piala AFF 2018 di Yangon sedikit sebanyak memberi kelegaan kepadanya.



Walaupun pada awalnya mengharapkan Vietnam mampu memenangi perlawanan tersebut namun keputusan seri juga memberi sedikit kelebihan kepada pasukan negara.

Keputusan tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan tujuh mata, diekori rapat Malaysia di tangga ketiga dengan enam mata sekali gus menyaksikan pertembungan terakhir menjanjikan aksi lebih sengit bagi merebut tiket ke separuh akhir.

“Ya…memang keputusan seri antara Myanmar dan Vietnam sedikit memberi kelegaan kepada saya. Walaupun saya mengharapkan Vietnam memenangi perlawanan itu.

“Apa pun kesempatan ini harus digunakan sebaik mungkin. Perlawanan Sabtu ini cukup penting kerana bakal menentukan pasukan mana yang akan melangkah ke peringkat separuh akhir.

“Cabaran pasti sengit kerana Malaysia memerlukan kemenangan manakala Myanmar sekadar mahu seri. Maka kita sudah dapat menjangka pasukan lawan pasti akan menggunakan corak serangan balas pantas sebagai senjata utama dan memanfaatkan kelekaan serta kesilapan kita nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Skuad negara bakal melayani kunjungan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini dengan tiada pilihan kecuali menang atau bakal ditunjukkan jalan keluar lebih awal seperti yang berlaku pada tahun 2016.

Dua tahun lalu, skuad The Asian Lions itu telah menggagalkan misi Harimau Malaya melangkah ke peringkat separuh akhir selepas menumpaskan pasukan yang di bimbing Datuk Ong Kim Swee ketika itu 1-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Sementara itu, satu lagi aksi Kumpulan A menyaksikan Kemboja meraih kemenangan pertama selepas menundukkan Laos 3-1 di Phnom Penh. – UTUSAN