TCFC wajar diberi peluang kedua

Image result for TCFC

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menggesa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan ‘talian hayat’ kepada kelab Terengganu City FC (TCFC) bagi membolehkan skuad The Sharks itu beraksi dalam kancah Liga Perdana musim depan.



Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, agak merugikan jika juara Piala FAM musim ini terlepas peluang beraksi dalam saingan liga divisyen dua itu.

“Peluang kedua harus diberikan kepada TCFC untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana musim depan selepas disingkirkan FAM kerana kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan badan induk bola sepak negara itu selain tidak membayar gaji pemain dan jurulatih.

“Ini bukan saja harapan kita tetapi khusus kepada pemain dan jurulatih serta pihak pengurusan skuad itu yang sudah berhempas-pulas untuk layak ke Liga Perdana selepas muncul juara Piala FAM,” kata Wan Sukairi ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu Sukan Para SUKMA ke-19 Perak di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, semalam.




Bagaimanapun, Wan Sukairi mendesak pengurusan skuad The Sharks itu wajib menyelesaikan dengan segera semua tunggakan gaji pemain, jurulatih dan pegawai pasukan itu sebelum membuat rayuan kepada FAM dan MFL.

“Saya menasihati pengurusan skuad TCFC itu terus berjumpa FAM seberapa segera bagi menyelesaikan kemelut penyingkiran itu kerana saya berkeyakinan jika semua masalah tunggakan gaji diselesaikan kelab TCFC itu, FAM akan mempertimbangkan semula dengan membenarkan skuad itu beraksi dalam kancah Liga Perdana musim depan.

“Namun kerajaan negeri tidak bercadang mengambil alih TCFC walaupun pihak pengurusan skuad itu datang berbincang mengenai kedudukan skuad itu,” ujar Wan Sukairi yang bakal mengadakan pertemuan khas dengan bekas jurulatih dan pemain skuad itu hari ini bagi mendengar dan mencari kaedah penyelesaian kemelut itu.

Kelmarin MFL ‘mengharamkan’ skuad The Sharks itu daripada beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan susulan kegagalan membayar tunggakan gaji jurulatih, pemain dan pegawainya yang dianggarkan melebihi RM1 juta.