PSG risau lawan Liverpool tanpa Neymar, Mbappe

PARIS: Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar dan Kylian Mbappe kesuntukan masa untuk pulih tepat pada masanya bagi pertembungan Liga Juara-Juara dengan Liverpool, kata kelab Perancis itu, awal pagi tadi.



PSG berkata, ujian imbasan menunjukkan Neymar mengalami masalah kecederaan pada bahagian pangkal paha ketika Brazil mengatasi Cameroon 1-0, semalam.

Dan Mbappe pula dihimpit kecederaan bahu selepas terjatuh dalam kemenangan 1-0 Perancis ke atas Uruguay di Stade de France.

“Tempoh rawatan selama 48 jam akan dilakukan untuk menilai keadaan semasa mereka,” kata PSG.

Kedua-dua pemain dijangka akan terlepas aksi Ligue 1 berdepan Toulouse, Sabtu ini, di kala aksi Liga Juara-Juara awal pagi Khamis depan di Parc des Princes lebih menjadi keutamaan mereka.

Kesemua empat pasukan Kumpulan C masih berpeluang melayakkan diri dengan Liverpool menghimpun sama mata dengan peneraju Napoli manakala PSG di kedudukan ketiga, satu mata di belakang kedua-dua pasukan itu dan satu mata di depan Red Star Belgrade.

Bagaimanapun, Neymar mengurangkan kebimbangan terhadap kecederaan dialaminya apabila berkata dalam Instagram ‘ia tidak begitu serius’. – AFP