Pemain senior setia dengan Lang Merah

Image may contain: 8 people, text

ALOR SETAR: Kedah masih mendapat sentuhan pemain senior berpengalaman bagi mengharungi Liga Malaysia musim depan apabila sembilan pemain yang tamat kontrak hujung bulan ini sah memperbaharui kontrak musim depan.

Antara pemain senior itu adalah kapten Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi Johari, Rizal Ghazali dan Hadi Hamid.



Menurut ketua unit persiapan skuad Lang Merah yang juga Naib Presiden I Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Anas Hafiz Mustafa, beliau terharu pemain senior menunjukkan kesetiaan yang mendalam untuk terus berkhidmat buat Kedah walaupun KFA memaklumkan terdapat penurunan dari segi gaji.

“Sebenarnya saya juga terkejut kerana KFA membuat pemotongan gaji musim ini tapi hati mereka tetap di Kedah dan Alhamdulillah ini menunjukkan semangat dan jati diri untuk bermain dengan Kedah tinggi.

“Walaupun gaji kena potong, mereka tetap setia dan masih mahu bersama Kedah dan saya juga minta maaf kerana tak dapat nak umumkan berapa jumlah yang dipotong kerana jumlahnya berbeza.”




Pada sidang media itu juga Anas mengumumkan senarai barisan kejurulatihan baharu yang diketuai ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak bersama dua pembantunya Victor Andrag dan Azmi Mohamed.

Turut diumumkan, penyerang skuad bawah 23 tahun negara N Thanabalan, Azmeer Yusof, Syahrul Azwari Ibrahim, Hidhir Idris dan Shahrul Igwan Samsudin muncul pemain tempatan baharu mewakili pasukan Hijau Kuning musim depan.