Wan Karpet tak ‘makan hati’

Image result for Syazwan Zainon

NILAI: Pemain sayap negara, Syazwan Zainon mengakui tidak terasa hati walaupun tidak tersenarai dalam kesebelasan utama skuad bola sepak kebangsaan pada aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF berdepan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.



Sebaliknya, Syazwan atau lebih dikenali sebagai Wan Karpet menegaskan kejayaan pasukan adalah perkara paling penting berbanding sasaran individu.

Justeru, bekas pemain Kedah yang bakal menyarung jersi Selangor musim depan itu berkata, sesiapa saja yang akan diturunkan berdepan Myanmar perlu melakukan yang terbaik demi membawa pasukan ke separuh akhir.

“Saya tak kisah sama ada diturunkan atau tidak berdepan Myanmar kerana apa yang penting kemenangan pasukan,” katanya yang tidak diturunkan ketika Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Vietnam di Hanoi, Jumaat lalu.

“Saya tidak cedera tapi prestasi saya bukan berada pada tahap terbaik sebab itu saya tidak diturunkan ketika berdepan Vietnam.

“Tapi jika saya diturunkan berdepan Myannar nanti, sudah pasti saya akan buat yang terbaik dan begitu juga dengan pemain lain kerana kami hanya mahukan kemenangan.”

Kekalahan kepada Vietnam menyaksikan Harimau Malaya tiada jalan lain selain menewaskan Myanmar untuk mara ke separuh akhir.

Harimau Malaya yang berjaya meraih kemenangan ke atas Kemboja dan Laos sebelum ini mengumpul enam mata, satu mata di belakang Myanmar dan Vietnam yang menghuni kelompok teratas kumpulan.

Mengulas lanjut, Wan Karpet menaruh keyakinan tinggi Harimau Malaya mampu mengubah sejarah pada kejohanan sama dua tahun lalu selepas ditunjukkan jalan keluar oleh Myanmar.

“Pada Piala AFF 2016 kami tewas 0-1 kepada Myanmar dan tersingkir dari kejohanan. Tapi kali ini pasukan sudah berbeza dengan kehadiran beberapa pemain baharu.

“Malah, kita memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan saya yakin kami mampu mara ke separuh akhir,” katanya.