FAM akur Subkhiddin letak jawatan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya terpaksa menerima peletakan jawatan Subkhiddin Salleh sebagai pengerusi jawatankuasa pengadil dan ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) badan induk itu.



Perkembangan itu dimaklumkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi selepas mesyuarat Exco FAM di Seri Kembangan, dekat sini, hari ini.

Yusoff menjelaskan, beberapa pertemuan secara peribadi sudah diatur antara presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin dengan Subkhiddin sebelum ini namun bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu tetap dengan keputusan untuk melepaskan jawatan.

“Kami menerima peletakan jawatan Subkhiddin atas dasar menghormati keputusannya.

“Ia satu kehilangan besar kerana anda semua sedia maklum betapa beliau cukup berpengalaman dan berpengaruh dalam dunia pengadilan namun atas sebab peribadi, kami perlu menerima keputusannya,” kata Yusoff.

Susulan peletakan jawatan Subkhiddin, Yusoff mengesahkan FAM sudah melantik penggantinya namun seorang individu perlu dicalonkan untuk mengisi kekosongan bagi kerusi Exco.

“Kami melantik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status, Md Dali Wahid sebagai pengerusi jawatankuasa pengadil yang baru dengan Datuk Aminuddin Omar kekal sebagai timbalan pengerusinya.

“Bagaimanapun, kekosongan kerusi Exco yang ditinggalkan Subkhiddin perlu diisi dan seorang lagi individu perlu dipilih pada Kongres FAM akan datang,” katanya.

Terdahulu, Subkhiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco FAM dan pengerusi jawatankuasa pengadil badan induk itu, 5 November lalu.

Beliau menegaskan keputusan itu dibuat selepas pelbagai kritikan yang diterima mengenai mutu pengadilan pada aksi final Piala Malaysia antara Perak dengan Terengganu FC pada 27 Oktober lalu hingga membabitkan ahli keluarganya.