Isu Lesen: FAM bukan polis – Stuart Ramalingam

Image result for Stuart Ramalingam

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan lesen kebangsaan masih perlu diberikan kepada pasukan untuk bertanding sekalipun jika mereka berdepan tunggakan dan masalah kewangan.



Dikritik susulan tindakan itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam menjelaskan pemberian lesen kebangsaan yang dikeluarkan oleh First Instance Body (FIB) dan Unit Pelesenan FAM itu dibuat mengikut prosedur dan secara bebas.

Stuart berkata, pengeluaran lesen kebangsaan dibuat berdasarkan fakta yang diterima dalam dokumen dan bukan setakat menerusi khabar angin semata-mata.

“Kebanyakan pemain yang berdepan masalah tunggakan gaji atau sebagainya tidak membawa kes itu ke pihak bertanggungjawab jadi kami bertindak berdasarkan kes dan fakta yang kami terima.

“Kalau setakat satu dua kes, kami tidak boleh menghalang pasukan daripada mendapatkan lesen kecuali kalau ada 20 hingga 40 kes sama membabitkan sesuatu pasukan, itu cerita lain.




“Pasukan menghantar penyata kewangan yang sudah diaudit dan dari situ kami mengambil tindakan. Ada juga pasukan yang menandatangani persetujuan bersama dengan pemain untuk menyelesaikan masalah ini di luar.

“Berdasarkan pertimbangan ini, FAM sudah mengambil semua langkah yang sepatutnya untuk memberikan lesen kepada pasukan. Kami tidak mengambil tindakan ke atas pasukan kerana mereka terbabit dengan satu dua kes saja,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Stuart mahukan pemain yang berdepan masalah supaya tampil ke depan bagi menyelesaikan masalah mereka dan membolehkan FAM mengambil tindakan sewajarnya.

“Sebenarnya pemain memiliki banyak saluran untuk mengemukakan kes kerana bukan setakat menerusi FAM namun boleh membuat laporan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Apa yang berada dalam bidang kuasa kami, kami boleh kawal. Kami tidak merujuk kepada khabar angin dan kemudiannya melakukan siasatan kerana kami bukannya polis.

“Jika ada laporan, barulah kami boleh bertindak,” katanya.