Liverpool sudah sedia julang trofi

Image result for Sadio Mane

LONDON 23 Nov. – Sadio Mane percaya Liverpool sudah bersedia untuk menjulang trofi pertama di bawah kendalian Jurgen Klopp selepas dia menandatangani kontrak jangka panjang baharu bersama kelab itu.



Mane bersetuju dengan kontrak baharu yang ditawarkan dan dia akan kekal di Anfield sehingga 2023.

Bekas penyerang Southampton itu berjaya menjaringkan enam gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris, musim ini, dan Liverpool kini berada di kedudukan kedua liga di belakang Manchester City.

Mane yang menjaringkan 20 gol musim lalu percaya, masanya sudah tiba untuk Liverpool menamatkan penantian menjulang kejuaraan musim ini.




“Sudah pasti saya yakin. Kami ada segalanya di sini, kelab sudah melakukan yang terbaik dengan membawa pemain berkualiti. Kami ada pasukan yang kuat dan memiliki segalanya untuk menang. Tetapi ini bukan sekadar cakap-cakap, kami perlu melaksanakannya.

“Kami bermula dengan baik musim ini dan sentiasa bekerja keras semasa sesi latihan. Mungkin terlalu awal untuk bercakap mengenai trofi dan gelaran, tetapi semua orang tahu kami perlukannya dan kami akan lakukannya,” kata Mane menerusi laman web rasmi Liverpool. – AGENSI