Sathianathan pengendali baharu Gergasi Merah

Image result for B. Sathianathan selangor

BEKAS jurulatih Felda United, B. Sathianathan mengakui sudah tidak sabar dan amat teruja dilantik sebagai jurulatih baharu bagi mengendalikan Selangor kerana keinginan bersama skuad Gergasi Merah mula menguasai diri sejak kariernya sebagai pemain bola sepak.

Penantian penyokong pasukan Selangor kini terlerai apabila Sathianathan dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad Gergasi Merah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2019.



Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan tersebut mengakui teruja diberikan peluang keemasan untuk mengemudi Selangor yang merupakan salah sebuah pasukan hebat suatu masa dahulu.

“Sewaktu saya sebagai pemain Negeri Sembilan, lazimnya semua pemain bola sepak tempatan mempunyai harapan besar untuk beraksi bersama Selangor kerana skuad Gergasi Merah sememangnya sebuah pasukan gergasi dan terkenal di negara ini.

“Sekarang saya diberi peluang untuk mengendalikan pasukan Selangor dan sudah tentu saya tidak sabar menantikan hari pertama sesi latihan diadakan walaupun cabaran melatih pasukan ini sangat besar.

“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik serta berusaha memberikan trofi kepada pasukan Se­langor pada saingan musim depan,” katanya semalam.

Pengendali berusia 60 tahun tersebut sebelum ini mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad The Fighters susulan pasukan tersebut menghadapi kemelut penyusutan dana yang agak serius menjelang saingan Liga M 2019.

Dalam pada itu, Sathianathan bertekad mendapatkan empat atau lima pemain baharu berpengalaman untuk membantu Selangor mengembalikan zaman kegemilangan juara 33 kali Piala Malaysia tersebut.

“Saya bercadang untuk membawa empat atau lima pemain berkualiti dan berpengalaman untuk membantu Selangor memberikan saingan hebat kepada pasukan yang beraksi dalam kancah Liga M.

“Secara peribadi saya sukakan pemain yang boleh mengawal bola serta melakukan hantaran pendek selain berkemampuan merampas bola daripada pihak lawan,” kata­nya.