VIDEO Harimau Malaya menang bergaya, Hey akui pemain Myanmar ‘gentar’

Image may contain: 3 people, people playing sport and outdoor

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya melunaskan dendam ke atas Myanmar apabila meraih kemenangan 3-0, pada aksi terakhir Kumpulan A, Piala AFF sekali gus menempah tiket ke separuh akhir.

Tiga mata yang cukup berharga diraih anak buah Tan Cheng Hoe di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi dapat memadam luka di Yangon dua tahun lalu apabila disingkirkan lawan yang sama di peringkat kumpulan.



Kemenangan ketiga itu meletakkan Malaysia yang juga juara 2010 di tangga kedua, dengan sembilan mata di belakang pendahulu Vietnam (10 mata) yang menewaskan Kemboja 3-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan A.

Menyedari hanya kemenangan bakal membuka laluan ke separuh akhir, skuad negara mula mengatur gerakan sejak awal dalam usaha untuk memecahkan benteng pertahanan Myanmar.

Selepas percubaan kapten, Zaquan Adha Abd Radzak diselamatkan oleh penjaga gol, Kyaw Zin Htet pada minit ke-23, gol pertama pasukan tuan rumah hadir tiga minit selepas itu.

Skuad Harimau Malaya menutup babak pertama dengan kedudukan 2-0, selepas pertahanan pasukan pelawat Lwin Moe Aung menjatuhkan Safawi Rasid di dalam kotak penalti.

Zaquan yang menggalas tugas untuk menyempurnakan sepakan penalti lega apabila bola sepakannya terkena tiang gol sebelum bergolek ke dalam gawang.

Image may contain: 3 people, people playing sport and outdoor

Malaysia terus menguasai permainan pada babak kedua, namun hanya berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-87, apabila bola yang cuba dikeluarkan pertahanan Myanmar terkena kepala Zaquan sebelum masuk ke gawang.

Jurulatih Myanmar, Antoine Hey tetap menganggap aksi berdepan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi sebagai aksi terbaik pemainnya walaupun terpaksa akur dengan kekalahan 0-3.

Hey menjelaskan, sorakan padu seluruh penyokong Harimau Malaya yang memenuhi segenap ruang stadium juga mempengaruhi persembahan anak buahnya.

“Tahniah dan selamat berjaya buat Malaysia yang mara ke separuh akhir. Ini aksi terbaik kami dan kami juga mendapat beberapa peluang untuk mencipta jaringan menerusi serangan balas.

Di peringkat separuh akhir yang bakal berlangsung secara timbal balik bermula 1 Disember ini, lawan Malaysia bakal ditentukan sama ada Thailand, Filipina atau Singapura yang kini merebut slot ke separuh akhir dalam Kumpulan B.