Arsenal lebar rekod tanpa kalah

LONDON: Arsenal melebarkan rekod tanpa kalah kepada 17 perlawanan dalam semua kejohanan selepas menewaskan Bournemouth 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.



Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Unai Emery kini hanya dipisahkan satu mata dengan kelompok empat pasukan teratas liga.

Pemain termahal Bournemouth, Jefferson Lerma yang dibawa masuk dengan yuran perpindahan sebanyak 25 juta pound (RM134.4 juta), Ogos lalu memberikan Arsenal mendahului perlawanan apabila dia menjaringkan gol sendiri pada minit ke-30.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Norway, Josh King berjaya menyamakan kedudukan buat Bournemouth hasil jaringan pada lewat babak pertama perlawanan.




Situasi itu menyaksikan anak buah Emery masih gagal mendahului perlawanan sebaik tamat babak pertama dalam saingan liga sejak dia menyertai kelab itu awal musim ini.

Bagaimanapun, Pierre-Emerick Aubameyang muncul wira The Gunners apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-68.

Arsenal mampu melonjak ke kelompok empat teratas liga jika berjaya menewaskan jiran mereka, Tottenham Hotspur yang ketika ini berkelebihan tiga mata, minggu depan.

Sementara itu, Bournemouth kekal di tangga kelapan liga selepas tewas kali ketiga berturut-turut.

Mereka akan berdepan tugas lebih sukar apabila berdepan Manchester City dan Liverpool dalam lapan hari pertama Disember. – Reuters