Thanabalan dedah sebab pilih sertai Hijau Kuning musim depan

Image result for N.Thanabalan

PETALING JAYA: Agak janggal buat peminat bola sepak negara tanpa kelibat pemain sayap muda N.Thanabalan dalam beberapa aksi kebangsaan tahun ini.



Kecederaan lutut yang melanda pemain kelahiran Rantau, Negeri Sembilan sejak Ogos lalu memaksa Thanabalan berehat panjang dan terlepas aksi Sukan Asia serta Piala AFF Suzuki yang kini sedang berlangsung.

Menurut pemain prolifik ini berusia 23 tahun ini, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kecederaan yang berlaku adalah lumrah bagi seorang pemain bola sepak.

“Apa yang penting pemulihan yang konsisten dan saya gembira kini ianya sudah pulih. Saya juga tidak risau (terlepas Piala AFF) kerana umur masih muda dan percaya peluang untuk kembali ke skuad negara masih terbuka,” ujarnya.

Selain fokus untuk kembali ke skuad kebangsaan, Thanabalan juga mahu memastikan kariernya musim depan kembali cemerlang bersama pasukan baharu.

“Kontrak saya bersama Negeri Sembilan berakhir bulan ini. Musim depan akan cuba angin baharu ke Kedah.

“Saya tidak boleh menolak tawaran Kedah berdasarkan rekod semasa pasukan ini.

“Selain JDT (Johor Darul Ta’zim), Pahang, Perak, Terengganu…Kedah merupakan pasukan yang besar dalam Liga Malaysia, yang boleh memberi cabaran dan bersaing.

“Saya yakin akan boleh pergi jauh dengan pasukan ini. Walaupun ada juga beberapa pasukan lain yang tawarkan kontrak, tetapi Kedah menjadi pilihan saya,” ujarnya akan akan berangkat ke Negeri Jelapang Padi hujung bulan depan.