Liga Juara: Manchester United mahu tempah tiket lebih awal

Image result for Jose Mourinho

MANCHESTER 27 Nov. – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menggesa anak-anak buahnya agar mendapatkan tiga mata berharga menetang Young Boys dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara di Old Trafford awal pagi esok (waktu Malaysia).



Sekiranya United menang manakala Valencia gagal menewaskan Juventus, itu bermakna mereka berjaya menempah tiket ke peringkat kalah mati lebih awal dengan baki satu perlawanan dalam tangan.

Mourinho menyelar prestasi anak-anak buahnya apabila mereka gagal mencari gol dan terpaksa aku dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu lalu.

Katanya, pemain Red Devils tidak mempunyai semangat juang yang tinggi selepas mereka diejek oleh peminat sendiri ketika beraksi Old Trafford dan keputusan seri itu menyebabkan United menduduki tangga ketujuh liga sekali gus menyukarkan misi pasukan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Sekiranya gagal menewaskan kelab dari Switzerland, United berdepan misi wajib menang ke atas Valencia dalam aksi terakhir Kumpulan H dalam usaha mereka untuk terus kekal bersaing pada kejohanan tersebut.

“Mengecewakan sebab apa yang saya mahukan adalah pasukan bermula dengan garang dan bukannya menunggu pergerakan lawan, bukan bertindak balas tetapi proaktif.

“Itu yang saya mahukan dan mungkin anda (media) atau peminat fikir ‘Oh, Jose memberitahu pemain agar bermula dengan perlahan.

“Bertentangan dengan apa yang saya mahukan. Saya mahu pasukan bermula dengan garang, saya mahu pemain pergi menyerang dengan segera namun agak mengecewakan.

“Perlawanan ini tidaklah begitu penting namun saya mahu pemain beraksi seolah-olah ini peluang terakhir mereka untuk layak. Saya mahu beraksi di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara,” katanya. – AFP