Jangan anggap Thailand terlalu kuat – Tan Cheng Hoe

JANGAN menganggap pasukan Thailand terlalu kuat sehingga sukar untuk ditewaskan dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Meskipun berdepan pa­sukan terkuat di Asia Tenggara, pemain negara boleh mengatasi segala rintangan jika kekal fokus kepada permainan di atas padang.



Bagaimanapun, mereka diingatkan berwaspada dengan ancaman penye­rang berbisa Thailand, Adisak Kraisorn kerana pemain itu bijak menghukum kelalaian benteng pertahanan.

Itu peringatan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ke atas pemain Harimau Malaya yang akan turun di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam tempoh tiga hari lagi.

“Thailand memiliki pemain dan liga (tempatan) berkualiti tetapi jika pemain kita dapat menunjukkan karakter sebenar di atas padang, kita mampu memberikan persembahan terbaik.

“Kita tidak boleh menganggap Thailand terlalu kuat dan saya ya­kin pemain boleh mengatasi segala rintangan dalam perlawanan itu,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi latihan skuad kebangsaan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan semalam.




Selepas aksi pertama Sabtu ini, skuad kebangsaan akan bertandang ke Bangkok untuk perlawanan separuh akhir kedua pada 5 Disember depan

Cheng Hoe turut meminta para pemain bertahan de­ngan lebih agresif dan memberi tumpuan dalam setiap serangan yang dilakukan bagi menghasilkan gol.

Beliau mengakui skuad Harimau Malaya bakal turun selaku pasukan ­underdog menentang Thailand tetapi rekod membuktikan pasukan kebangsaan mampu beraksi dengan baik sehingga mara ke peringkat separuh akhir.

Kata beliau, setiap pemain harus bijak membuat keputusan di atas padang dan mengambil kesempatan daripada sokongan puluhan ribu penyokong pada perlawanan tersebut.

Cheng Hoe turut berasa gembira kerana setiap pemain berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kece­deraan dan mempunyai tempoh empat hari untuk membuat persiapan secukupnya.

“Kita kena ambil kesempatan ­bermain di gelanggang sendiri de­ngan sokongan padu penyokong,” katanya.