Piala AFF: Kombinasi kembar tunjang Harimau Malaya

Piala AFF: Kombinasi kembar tunjang Harimau Malaya 

Pasangan kembar Harimau Malaya, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak, bertekad mengulangi aksi cemerlang masing-masing dalam pertemuan separuh akhir pertama Piala AFF 2018 menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.



Aidil dan Zaquan diangkat sebagai wira skuad kebangsaan ketika menewaskan Myanmar 3-0, hujung minggu lepas.

Tatkala Zaquan cemerlang menghasilkan dua gol, abangnya, Aidil, mempamerkan aksi ampuh mengekang asakan lawan sehingga diangkat selaku Pemain Terbaik Perlawanan.

Mereka mahu meneruskan momentum itu dan kali ini bagi pertemuan lebih getir menentang Thailand dalam aksi separuh akhir pertama kelak.

“Sesiapa pun yang menjaringkan gol tidak penting, apa yang lebih utama adalah pasukan mencapai kejayaan.

“Kami harap dapat mempamerkan aksi terbaik sebagai sebuah pasukan.

“Kalau ade rezeki, sudah pasti saya ingin menyumbat gol dan cuba berikan yang terbaik, sama ada menghasilkan gol mahupun memberikan aksi terbaik untuk pasukan,” ujar Zaquan.

Bagi Aidil yang membentuk gandingan di samping Shahrul Saad di bahagian tengah pertahanan berkata: “Thailand banyak bergerak di kedua-dua bahagian sayap.

“Pendekatan itulah yang mencipta ruang kepada Adisak Krainson untuk menjaringkan gol.

“Ini bukanlah bermaksud kami tidak perlu memberi perhatian kepada Adisak, sebaliknya kami perlu berjaga-jaga dengan kesemua pemain-pemain Thailand.”