Real Madrid kembali temui sentuhan juara eropah

ROME: Gareth Bale membantu Real Madrid menewaskan AS Roma untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara sebagai pendahulu Kumpulan G, walaupun bermula hambar pada musim ini.



Bale meledak satu gol pada minit ke-47 dan melakukan hantaran gol kedua untuk Lucas Vazquez pada minit ke-59, ketika meraih kemenangan 2-0 di Stadium Olimpico, awal pagi tadi.

Roma mensia-siakan beberapa peluang di babak pertama, terutama daripada Cengiz Under yang gagal menyempurnakan sepakan jarak dekat ketika pintu gol Real Madrid sudah tidak dikawal.

Kesilapan Federico Fazio membolehkan Bale membuka tirai jaringan dan Roma mula longlai, sekali gus membolehkan Madrid bangkit daripada kekalahan di Eibar minggu lalu untuk muncul juara kumpulan.

Kedua-dua pasukan turun dengan status sudah layak ke pusingan kalah mati, selepas Viktoria Plzen menewaskan CSKA Moscow pada perlawanan lebih awal dan menjadikan pertemuan itu hanya untuk merebut tangga teratas.




Walaupun mengharungi lapan jam permainan tanpa gol musim ini, dan dua minggu tanpa pengendali tetap, Santiago Solari masih mampu membawa Real ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan dengan berbaki satu perlawanan.

Solari kini boleh menarik nafas lega selepas persembahan buruk di Eibar pada Sabtu lalu.

Manakala tekanan terus memuncak buat pengendali Roma, Eusebip di Francesco yang hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir Serie A mereka. – AFP