Messi pimpin Barca ke pusingan 16 Liga Juara-Juara

LIONEL MESSI dikepung pertahanan Eindhoven pada perlawanan Liga

EINDHOVEN, Belanda 29 Nov. – Barcelona mengatasi PSV Eindhoven 2-1 untuk menduduki puncak kumpulan Liga Juara-juara dengan berbaki satu lagi perlawanan.



Messi dan Gerard Pique menjaringkan gol untuk meraih kemenangan pertama pasukan dari La Liga itu sejak 3 November.
Kapten Luuk de Jong menjaringkan gol untuk pasukan Mark van Bommel yang belum kalahkan di liga Belanda.

Pasukan tuan rumah mempunyai peluang terbaik pada babak pertama apabila ledakan de Jong terkena palang gol.

Messi menguji Jeroen Zoet dengan sepakan lengkung tetapi penjaga gol itu sempat menepis dan memastikan gawangnya tidak bolos hingga wisel separuh masa pertama.




Ketika permainan berlangsung sejam Messi melarikan bola dari garisan tengah sebelum melorongkan kepada Ousmane Dembele yang kemudiannya menolak kembali kepada Messi di dalam kotak penalti untuk merembat menewaskan Zoet.

Semasa permainan berbaki 20 minit, Messi membuat hantaran silang hasil daripada sepakan percuma dan mudah disudahkan oleh Pique.

PSV kekal dengan satu gol De Jong hingga ke wisel penamat permainan. – AFP