Buka ‘akaun’ gol bukan keutamaan Sumareh

Image result for sumareh malaysia aff suzuki

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Walaupun masih buntu mencari gol selepas beraksi tiga daripada empat perlawanan di peringkat Kumpulan A Piala AFF namun penyerang naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh tidak berasa bimbang.



Tegasnya, memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan adalah menjadi keutamaan bagaimanapun sekiranya penyerang Pahang itu berjaya membuka ‘akaun’ gol ketika menentang Thailand dalam aksi separuh akhir Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok dia menyifatkannya sebagai bonus.

“Semua orang tahu perlawanan esok penting dan Thailand pasukan pilihan kerana mereka juara bertahan. Kami akan memberikan segalanya dengan mengikut arahan jurulatih (Tan Cheng Hoe).

Saya berasa yakin dan teruja untuk beraksi esok kerana penyokong sentiasa berada di belakang kami dan semangat seperti ini bagus.

“Apa yang penting esok adalah membantu pasukan untuk mencipta kemenangan kalau saya dapat menjaringkan gol dianggap bonus. Kalau saya tidak dapat menjaringkan gol tetapi berjaya mencipta gerakan gol untuk membantu pasukan untuk menang itu sudah cukup menggembirakan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media rasmi di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Malaysia perlu berusaha mendapatkan bekalan gol untuk dibawa ke Bangkok bagi aksi timbal balik pada 5 Disember ini. – UTUSAN