River Plate, Boca Juniors tolak aksi di Madrid

PENYOKONG River Plate membantah aksi Copa Libertadores dimainkan di Madrid.

BUENOS AIRES: Kelab gergasi Argentina, River Plate enggan bermain aksi final Copa Libertadores menentang seteru tetangga, Boca Juniors di Madrid, Sepanyol.

Perlawanan final kedua di antara dua seteru tetangga Buenos Aires itu dipindahkan ke gelanggang juara Eropah, Real Madrid di Santiago Bernabeu selepas ia dua kali terpaksa ditangguhkan minggu lalu susulan serangan peminat River ke atas bas pasukan Boca.



Pertemuan itu dijadual berlangsung di ibu negara Sepanyol itu pada 9 Disember ini tetapi River berkata mereka ‘Mengesahkan penolakan perubahan lokasi’ dalam laman web kelab berkenaan.

River berkata adalah sesuatu yang ‘tidak dapat difahami’ apabila perlawanan itu dipindahkan ke Sepanyol dan menegaskan mereka tidak perlu bertanggungjawab atas ‘kesilapan operasi keselamatan’ bagi perlawanan berprofil tinggi di Buenos Aires.

“Adalah sesuatu yang tidak dapat difahami yang perlawanan superclasico tidak dapat berjalan dengan normal di negara yang sama di mana sidang kemuncak G20 sedang berlangsung ketika ini,” kata kelab itu.

Pemimpin-pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Russia, Vladimir Putin menghadiri sidang kemuncak G20 yang berlangsung di ibu negara Argentina itu pada minggu ini.




BACA: Bas Boca Juniors diserang penyokong, pemain cedera dan perlawanan ditangguh

“Kelab percaya keputusan ini merosakkan kejohanan, prejudis terhadap sesiapa yang membeli tiket dan menjadikannya tidak adil,” kata River.

Beberapa jam sebelum River mengeluarkan kenyataan, Boca berkata mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan memindahkan aksi berkenaan ke Madrid kepada Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan.

Beberapa pemain Boca termasuk Pablo Perez perlu mendapatkan rawatan di hospital susulan kecederaan dialami selepas mengalami luka disebabkan cermin bas pecah dan beberapa lagi aduan mengenai pernafasan akibat gas pemedih mata.

Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino, semalam berkata ‘orang bodoh merosakkan keraian’ untuk semua orang di Copa Libertadores.

“Saya berada di sini Sabtu lalu,” kata Infantino dalam sidang media di persidangan G20. “Ia tempoh menyedihkan untuk semua orang. Ia perlawanan bola sepak. Ia bukan perang, malah bukan juga pertempuran.” – AFP