Lukaku pula mahu tinggalkan United

Image result for lukaku

MANCHESTER 8 Dis. – Romelu Lukaku menjadi bintang terbaharu yang menyuarakan rasa tidak gembira bersama Manchester United dan mempertimbangkan untuk meninggalkan Old Trafford.

Penyerang Belgium itu yang dibeli dengan harga 75 juta pound (RM398 juta) dari Everton tahun lalu, menjadi bintang terbaharu tidak gembira di bawah bimbingan pengurus, Jose Mourinho selepas Paul Pogba dan Alexis Sanchez.




The Sun hari ini melaporkan, Lukaku, 25, memberitahu rakan-rakan rapat dia mahu mencari jalan keluar dari Old Trafford jika terus disisihkan daripada kesebelasan utama pasukan.

Akhbar Britain itu turut mendakwa, United sedang berusaha membawa masuk pengurus Tottenham, Mau­ricio Pochettino ke Old Trafford musim depan bagi mengatasi kemelut yang melanda,

Begitupun, ejen Mourinho, Jorge Mendes menafikan United dilanda krisis, sebaliknya dia menegaskan, pengendali dari Portugal tersebut akan memberi sepenuh komitmen kepada Red Devils dan gembira bersama gergasi Liga Perdana Inggeris tersebut.



“Dia (Mourinho) mempunyai kontrak jangka panjang bersama United, jadi dia akan memenuhi komitmennya dan mahu membentuk pasukan yang mampu menghadiahkan kejuaraan.

“Jose sangat gembira di sini dan kelab juga gembira dengan apa yang dilakukannya setakat ini,” kata Mendes.

Ejen Lukaku, Mino Raiola yang turut mewakili Pogba berusaha membawa keluar bintang tengah Perancis itu dari Old Trafford sejak musim lalu.

Dia bersedia melakukan perkara yang sama dengan Lukaku, bergantung kepada perkembangan pemain itu dalam tempoh beberapa bulan ini.

Sanchez, 29, yang dibenarkan pulang ke Chile untuk menjalani rawatan hamstring masih gagal menyesuaikan diri dengan taktikal Mourinho sejak menyer­tai The Red Devils dari Arsenal, awal musim ini. – AGENSI