Rangkul Piala di Hanoi bukan misi mustahil buat Malaysia

Mungkin ini bukan satu keputusan yang baik untuk Malaysia apabila kita bolos 2 gol di tempat sendiri dan memerlukan kemenangan atau seri dengan jaringan yang lebih besar, tetapi lebih baik kita seri daripada tewas. Selepas Filipina, Malaysia menjadi pasukan kedua yang dapat memecahkan benteng skuad Naga Emas untuk menjaringkan gol.



Mungkin ramai melihat tugas di Hanoi nanti satu tugas berat, tetapi apa yang perlu kita ingat bahawa ini adalah misi yang berat, bukan mustahil. Semalam bukanlah permainan terbaik buat Malaysia. Dengan ketiadaan Syahmi Safari, Aidil Zafuan dan Nazirul Naim yang dikeluarkan disebabkan kecederaan, barisan pertahanan kita nampak goyah. Ditekan oleh Vietnam, kita bolos dua jaringan di separuh masa pertama. Tetapi Harimau Malaya tidak akan tunduk dengan mudah dan kita akhirnya berjaya menjaringkan 2 gol untuk mengikat keputusan.

Pastinya Norshahrul Idlan Talaha dan Farizal Marlias masih ingat bagaimana Malaysia bangkit semula di Stadium My Dinh selepas tewas 1-2 di Stadium Shah Alam. Ketika itu Malaysia dibarisi ramai pemain senior seperti Indra Putra, Safee Sali, Shukor Adan, Badhri Radzi dan Amri Yahyah.




Ini generasi pemain yang baru. Mungkin Norshahrul dan Farizal boleh menceritakan kepada pemain yang ada sekarang mengenai kebangkitan 2014 itu. Mungkin juga FAM boleh menjemput ketua jurulatih ketika itu Dollah Salleh dan pemain-pemain 2014 untuk memberi motivasi kepada pemain. Ceritakan pada mereka, tiada apa yang mustahil dalam bolasepak asalkan yang terbaik diberikan di atas padang.

Banyak cabaran dan dugaan sudah dilalui untuk Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir ini. Alang-alang sudah beraksi di pentas akhir, berikanlah yang terbaik untuk bawa pulang gelaran Raja Asia Tenggara! – Foxsport