Arsenal menang tipis, Keown gesa Ozil segera bangkit

LONDON: Martin Keown percaya Mesut Ozil harus mula menunjukkan ‘keinginan tinggi’ selepas kembali dalam kesebelasan utama Arsenal, ketika mencatat kemenangan 1-0 ke atas Qarabag dalam pertarungan Liga Europa, awal pagi tadi.



Sebelum ini, pemain antarabangsa Jerman itu tersisih kerana masalah kecederaan belakang, tetapi menunjukkan semula sentuhan serta kemampuan menangani hantaran jauh di Emirates.

Namun, Keown yang juga bekas pemain Arsenal dan kini pengkritik sukan menegaskan, perancang tengah berusia 30 tahun itu perlu ada keinginan yang besar dalam usahanya merebut tempat dalam kesebelasan utama Unai Emery.

Katanya kepada BT Sport: “Ia adalah peluang buat Ozil, untuk melihat bagaimana keadaannya selepas kembali daripada kecederaan.

“Dia perlu menunjukkan yang dia sedia bekerja keras selain memperagakan kualiti menguasai permainan – untuk kembali ke dalam pasukan, dan setakat ini dia tampak ada keinginan.




“Emery sudah buktikan beliau tidak kisah mengenai reputasi, tetapi Ozil begitu menikmati hantarannya (pagi tadi), dia berupaya mengubah permainan, sekarang hanya perlu dilakukan secara konsisten.”

Ozil dikaitkan dengan perpindahan keluar ke Inter Milan pada Januari ini dan Arsenal mungkin bersedia melepaskannya dengan harga yang rendah 25 juta pound (RM 132 juta) untuk mengurangkan kos gajinya yang mencecah 350,000 pound (RM1.8 juta) seminggu. – AGENSI