Cheng Hoe masih jurulatih terbaik

Image result for zakuan and tan cheng hoe

Pemain kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak percaya Tan Cheng Hoe masih lagi individu yang tepat untuk membimbing Harimau Malaya meskipun misi menjulang trofi Piala AFF 2018 terkandas di pentas akhir malam tadi.



Kapten Harimau Malaya berusia 31 tahun itu berkata, Cheng Hoe memiliki karektor tersendiri selaku jurulatih, dan sentiasa berpegang kepada falsafah tersendiri walaupun dikritik hebat sepanjang kempen ini.

“Kalau tanya saya, kalau saya puji tak adil pula, mesti orang kata sebab saya kapten sebab itu puji jurulatih Tan Cheng Hoe.

“Bagi saya, secara ikhlas saya katakan, mana-mana jurulatih yang datang, (pernah) menang Piala Dunia sekalipun, tetapi (jika) tak pandai ambil hati pemain, pasukan itu tak akan jadi.

“Saya boleh katakan jurulatih Tan ada satu karektor, ada falsafah tersendiri, daripada awal lagi ramai orang kritik, kenapa ambil saya sebagai kapten, kenapa formasi macam ini.

“Sebagai pemain, saya melihat jurulatih Tan sangat tenang, sangat jelas dengan keputusan, beliau tak dengar orang cakap, beliau tahu apa yang beliau mahu buat.

“Kami sentiasa dengar perkataan dari mulut dia ‘kita kena ikhlas dan jujur’. Untuk saya, beliau ada falsafah tersendiri, setiap jurulatih ada falsafah tersendiri, harus diberi peluang kepadanya,” katanya ketika ditemui pemberita di hotel penginapan selepas tamat perlawanan.

Kedudukan Cheng Hoe untuk terus membimbing Harimau Malaya menjadi tanda tanya selepas tamat kempen Piala AFF apabila kontraknya bakal berakhir hujung bulan ini, selepas dilantik menggantikan Nelo Vingada Disember tahun lalu.




Dalam pertarungan akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh malam tadi, Malaysia dikecewakan dengan kekalahan agregat 2-3, selepas Vietnam meraih kemenangan 1-0 di laman sendiri.

Meskipun gagal mengulangi sejarah 2010, namun skuad negara mempamerkan semangat juang tinggi untuk menyaingi pasukan Naga Emas yang menduduki ranking ke-100 dunia dan layak beraksi di pusingan akhir Piala Asia Januari depan.

Menurut Zaquan, dia mengakui kecewa kerana gagal menhadiahkan trofi buat penyokong, tetapi pencapaian mara ke pentas akhir sesuatu yang boleh dibanggakan buat pasukan yang tidak melakar sebarang kemenangan sepanjang tahun lalu.

“Kalau ikutkan, bila kempen bermula macam-macam kritikan dan pertikaian mengenai formasi, pemilihan pemain serta kenapa saya menjadi kapten.

“Bagi saya setiap pemain ada kelebihan masing-masing, mungkin rezeki saya sampai ke pentas akhir, tetapi bukan rezeki saya untuk jadi juara.

“Saat ini kita akan tengok siapa penyokong yang betul-betul sokong Malaysia atau tidak, jangan hanya kita menang kita disokong, saat kita kalah begini kita dicaci, saya harap setiap penyokong yang menyokong faham kami sudah lakukan yang terbaik untuk memuaskan hati semua orang tapi bukan rezeki kami,” katanya.