Kaji semula lesen FELDA United

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) digesa mengkaji semula lesen kebangsaan yang diberikan kepada FELDA United FC.

Ia susulan juara Liga Perdana yang bakal bersaing dalam Liga Super musim depan itu dilaporkan sedang mengalami masalah tunggakan gaji pemain dan jurulatih.



Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah menjelaskan FAM atau MFL berhak menyemak semula status FELDA United sama ada benar-benar memenuhi syarat kelayakan untuk menyertai Liga Super atau tidak.

“Sekarang ini FELDA United sudah lulus untuk mendapatkan lesen (kebangsaan) daripada FAM. Jadi, kalau lesen sudah lulus maknanya FAM sudah mendapat pengesahan yang FELDA United layak untuk menyertai liga.

“Ia kerana sebelum bagi lesen, mereka (FAM) pasti melihat secara terperinci adakah FELDA United ini memenuhi kriteria atau syarat yang ditetapkan termasuk tidak berdepan masalah gaji,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

“Tetapi kalau masalah sama (tunggakan gaji) timbul selepas lesen diberikan dan ia berlaku sebelum liga bermula, saya rasa FAM berhak untuk tarik balik atau mengkaji semula lesen yang diberikan kepada FELDA United.”

Sebelum ini, FAM mengesahkan tiga pasukan dari Liga Perdana – FELDA United, UiTM FC dan MIFA – lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kebangsaan dan membolehkan mereka beraksi di Liga Super 2019, jika layak.

Laporan Sukan NSTP, semalam mengenai tunggakan gaji selama tiga bulan yang membelenggu The Fighters itu mengejutkan banyak pihak kerana skuad berkenaan sudah berjaya mendapatkan lesen kebangsaan dan bakal kembali ke Liga Super musim depan.

Untuk rekod, FELDA United diturunkan ke Liga Perdana tahun ini selepas gagal dalam mendapatkan lesen kebangsaan walaupun menamatkan saingan Liga Super 2017 di kedudukan ketiga.

Selain itu, Kamarudin yang juga bekas pemain kebangsaan tidak menolak kemungkinan masalah tunggakan gaji boleh menjejaskan penyertaan FELDA United dalam saingan Liga Super musim depan.

“Perkara ini sebenarnya lebih kepada sama ada pengurusan itu profesional atau tidak dalam menguruskan pasukan. Kita tahu Liga Super memerlukan dana yang cukup besar dan semua pasukan bertanding perlu bersedia dengan semua itu.

“Macam JDT (Johor Darul Ta’zim), kita tidak boleh mempertikai kejayaan mereka muncul juara setiap tahun kerana kewangan mereka bagus. Bagi pasukan yang tiada kewangan yang baik ini, saya rasa FAM patut bantu, paling kurang pun bagi taklimat cara pengurusan kewangan yang betul,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FELDA United Zulkarnain Muhammad ketika dihubungi menjelaskan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat mengenai isu tunggakan gaji skuad The Fighters.