Layak ke Final Piala Kelab Dunia, Al Ain kejutkan River Plate

AL AIN, Emiriah Arab Bersatu: Tuan rumah, Al Ain mengejutkan juara Amerika Selatan, River Plate 5-4 menerusi penentuan penalti selepas bangkit daripada ketinggalan untuk seri 2-2 pada aksi separuh akhir Piala Kelab Dunia, awal pagi tadi.



Penjaga gol Al Ain, Khalid Eisa muncul wira pada penentuan sepakan penalti apabila dia menyelamatkan sepakan pemain gantian, Enzo Perez bagi membantu pasukannya mara ke final Sabtu ini.

“Saya amat gembira dan bangga. Apa yang berlaku malam ini menakjubkan,” kata jurulatih Al Ain, Zoran Mamic. “Kami membuktikan dalam bola sepak tiada apa yang mustahil.”

Skuad bimbingannya muncul kelab pertama dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya mara ke final.




Sementara itu, jurulatih River, Marcelo Gallardo enggan memberi sebarang alasan susulan kekalahan itu.

“Tiada alasan. Kami yang gagal bermain dengan kesungguhan yang betul,” katanya.

Al Ain akan berdepan pemenang perlawanan antara Real Madrid dengan Kashima Antlers pada satu lagi separuh akhir awal pagi esok.

Terdahulu, penyerang Sweden, Marcus Berg menanduk masuk gol pertama Al Ain seawal minit ketiga.

Namun, River Plate berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-11 menerusi jaringan Santos Borre sebelum dia meledak gol kedua lima minit kemudian bagi meletakkan kelabnya di depan 2-1.

Pemain tengah Brazil, Caio berjaya menyamakan kedudukan buat Al Ain menerusi jaringannya pada minit ke-51. – Reuters