Messi raih Kasut Emas kali kelima

BARCELONA: Lionel Messi melakar rekod meraih Kasut Emas kali kelima apabila menamatkan saingan musim lalu sebagai penjaring terbanyak liga di Eropah.

Penyerang Argentina itu meledak 34 gol dalam 68 perlawanan buat Barcelona mengatasi penyerang Liverpool, Mohamed Salah dan Harry Kane dari Tottenham.



Manakala Cristiano Ronaldo yang meraih gelaran itu sebanyak empat kali menjaringkan 26 gol dalam 52 perlawanan buat Real Madrid.

Selepas menerima hadiah terbarunya di Barcelona, Messi berkata: “Sebenarnya saya tidak menyangka perkara ini akan berlaku ketika saya mula bermain dulu. Saya bermimpi untuk bermain bola sepak secara profesional dan menikmati kejayaan, saya suka permainan ini tapi tidak pernah membayangkan saya akan meraih begitu banyak kejayaan.

“Saya sukakan kerja saya, usaha, saya berada bersama pasukan terbaik di dunia dan bermain bersama rakan pasukan terbaik di dunia, jadi semuanya lebih mudah.”

Majlis anugerah itu turut dihadiri Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, selain beberapa pemain seperti Sergio Busquets dan Sergi Roberto.

Messi turut memberi komen mengenai undian Liga Juara-Juara yang mana Barca akan bertemu Lyon pada pusingan 16 terbaik.

“Lyon adalah lawan yang sukar,” kata Messi. “Biarpun mereka tidak dikenali sebagai pasukan terkuat, tapi mereka berbahaya seperti yang ditunjukkan ketika menentang Manchester City, satu daripada pasukan terbaik di dunia.” – AFP