Pemecatan tidak sah, tiada semangat kesukanan, ‘Geng 52’ mahu saman Tengku Amir Shah

52 ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang terlibat dengan Kongres Luar Biasa (EGM) persatuan itu pada 8 November lalu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Jurucakap kumpulan digelar ‘Geng 52’ itu yang juga bekas Exco FAS, Datuk Ariffin Abd Hamid berkata ia susulan tindakan Tengku Amir Shah memecat 43 daripada 52 ahli gabungan yang menyokong EGM tersebut selain mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak benar yang memberikan imej buruk kepada ahli gabungan.



Dengan menganggap pemecatan 43 ahli gabungan itu sebagai tidak sah, Datuk Ariffin berkata, “Tengku Amir mendakwa EGM tersebut diadakan tanpa pengetahuan beliau, ianya tidak benar. Beberapa memorandum telah dihantar bermula dari 1 Oktober dan beliau sendiri banyak mengeluarkan kenyataan mengenainya, menyatakan ia tidak boleh diadakan.

“Beliau berkeras tidak mengiktiraf EGM itu kerana menganggap kami cuba membuat kacau sehinggalah kami meneruskan ianya dengan memanggil sendiri EGM menerusi notis bertarikh 22 Oktober berdasarkan Artikel 30 Perlembagaan dan ianya adalah sah.

“Artikel tersebut menyatakan EGM boleh dipanggil sendiri oleh ahli gabungan sekiranya FAS tidak mengadakan EGM dalam tempoh 30 hari selepas memorandum EGM diserahkan, tanpa perlu mendapat persetujuan Presiden mahupun Persatuan, ia tidak melanggar mana-mana peraturan.

“Kemudiannya selepas EGM, beliau membuat keputusan memecat pula 43 ahli gabungan dengan menggunakan artikel 38 dan ianya adalah alasan yang lemah dan tidak munasabah.”

Menurut Ariffin lagi, FAS pada hakikatnya melakukan banyak usaha untuk menggagalkan EGM itu daripada berlangsung termasuklah dengan memecat dua exco iaitu dirinya dan Omar Ali, kemudian meluluskan 26 kelab sebagai ahli gabungan baru pada 25 Oktober – hanya tiga hari selepas notis memanggil EGM diserahkan.

“Jadi untuk Presiden FAS mengatakan beliau tidak tahu menahu mengenai EGM itu, tetapi memecat pula dua exco, dan 43 ahli gabungan pada ketika Pesuruhjaya Sukan masih belum membuat keputusan akan kesahihannya seolah-olah memperlihatkan kelemahan pentadbiran FAS yang enggan menerima keputusan EGM itu.

“Ingin saya tegaskan, EGM kami berlangsung cukup korum dan sah, sehingga kini tiada lagi pengakuan dari Pesuruhjaya Sukan menyatakan ianya tidak sah dan tiada sesiapa pun menghantar surat kepada Pesuruhjaya Sukan untuk membantah EGM yang telah kami adakan.”

Ariffin turut berpendapat bahawa keputusan untuk memecat 43 ahli gabungan oleh Presiden menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai semangat kesukanan dan langsung tidak mengambil kira nasib lebih 4,000 ahli-ahli kelab, pegawai pasukan dan pemain yang kehilangan arah tuju dalam dunia bolasepak terutama bolasepak di negeri Selangor.

Terdahulu, pada Jumaat lalu, FAS memaklumkan bahawa 43 ahli gabungan dipecat kerana melanggar beberapa artikel dalam statut FAS dan gagal mengemukakan surat tunjuk sebab manakala lapan ahli gabungan yang menjawab surat tunjuk sebab pula sedang disiasat.

Ditanya mengapa mereka tidak menjawab surat tunjuk sebab diberikan FAS, ini jawapan Ariffin.

“Memang kami tidak menjawab surat usul pemecatan yang sepatutnya dijawab sebelum 7 Disember kerana kami yakin apa jua jawapan yang kami berikan tidak akan merubah pendirian Presiden untuk memecat kami. Lagipun perihal berkaitan EGM telahpun diserahkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk membuat keputusan pada 13 November lalu, jadi sepatutnya Presiden dan Setiausaha Agung menghormati Pesuruhjaya Sukan di dalam menyelesaikan terlebih dahulu kemelut ini.

“Kami juga sudah bosan melayan kerenah dan tekanan berterusan dari Presiden dan Setiausaha Agung bermula dari 1 Oktober sehinggalah hari ini walaupun kesemua 52 ahli gabungan ini telah pun membayar yuran keahlian dan yuran pertandingan Liga Selangor 2019.

“Untuk pengetahuan semua, sejak kami menghantar memorandum untuk mengadakan EGM, kami berterusan ditekan dan tidak lagi dilayan seperti ahli gabungan. Pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh FAS sama ada menerusi Setiausaha Agung Dr Johan Kamal Hamidon mahupun Presiden sendiri untuk memburukkan imej kesemua 52 ahli gabungan ini, malah menampakkan seolah betapa teruknya kami.

“Niat kami untuk memanggil EGM sudah dinyatakan dengan jelas sejak dari awal, kami dapati ada ketirisan berlaku, hak ahli gabungan dinafikan dan kami mahu merombak semula Jawatankuasa Eksekutif untuk menjadikannya lebih baik.

“Sepatutnya kami boleh mengambil alih pengurusan FAS pada 9 November tetapi bagi menghormati Presiden yang telah dilantik semula oleh EGM, pihak kami sanggup menunggu pengesahan dari Pesuruhjaya Sukan.

“Sekarang ini, pihak kami tidak peduli dengan pemecatan yang dibuat oleh Presiden FAS, kami juga tidak akan memaksa Persatuan Bolasepak Malaysia untuk masuk campur. Kami akan terus menunggu jawapan daripada pihak pengurusan Pesuruhjaya Sukan dan yakin kebenaran akan berpihak kepada kami yang teraniaya ini,” jelasnya.